Saturday, August 13, 2022
24 C
Brunei

Australia lapor kes pertama Omicron

-

SYDNEY, 28 NOV – Beberapa negara mula bergegas membendung penularan varian baharu COVID-19, Omicron, dengan Israel sudah menutup sempadannya kepada warga asing sementara Australia melaporkan kes pertama varian itu hari ini.

Omicron mula menimbulkan keraguan terhadap usaha global memerangi wabak itu, ekoran kebimbangan ia lebih cepat menular dan mempunyai pelbagai mutasi, memaksa beberapa negara melaksanakan semula langkah sekatan.

Saintis pula terus berusaha menentukan ancaman yang timbul daripada strain yang sangat bermutasi, terutama kemampuannya untuk kebal terhadap vaksin sedia ada.

Beberapa negara sudah mengumumkan rancangan untuk menyekat perjalanan dari selatan Afrika, lokasi di mana varian itu muncul, termasuk hab perjalanan utama Qatar, Amerika Syarikat (AS), Britain, Arab Saudi, Kuwait dan Belanda.

Israel melaksanakan sekatan paling ketat berbanding negara lain, dengan menutup sempadannya kepada semua warga asing dalam usaha mengekang penyebaran varian itu, hanya empat minggu selepas sempadan dibuka semula kepada pelancong.

Gambar fail bertarikh 7 Disember 2020 menunjukkan polis berdiri mengawal ketika ketibaan pengunjung ke hotel kuarantin di Melbourne. Pegawai kesihatan di Australia pada 28 November 2021 berkata mereka telah mengesan kes pertama Omicron. – AFP

“Kami telah mengeluarkan amaran risiko,” kata Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett, sambil menambah negara itu akan menempah 10 juta kit ujian PCR sebagai langkah membendung strain ‘berbahaya’ itu.

Pejabat Perdana Menteri Israel memaklumkan rakyat negara itu dikehendaki mengemukakan ujian PCR negatif dan perlu menjalani kuarantin tiga hari jika mereka lengkap vaksin serta tujuh hari jika sebaliknya.

Namun, strain virus itu sudah menyelinap masuk dan kini ditemui dari Belanda ke Hong Kong dan Australia, di mana pihak berkuasa kesihatan Australia memaklumkan mengesan kes pertama membabitkan dua penumpang dari selatan Afrika yang diuji positif selepas terbang ke Sydney.

Ketibaan varian baharu itu muncul sebulan selepas Australia menarik balik larangan ke atas rakyatnya untuk melancong ke luar negara, dengan sempadan negara itu dibuka kepada pekerja mahir dan pelajar antarabangsa menjelang akhir tahun.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Australia, kedua-dua kes itu membabitkan individu lengkap divaksin, tiba pada hari sama ketika Canberra mengumumkan larangan menyeluruh terhadap penerbangan dari sembilan negara selatan Afrika, termasuk Afrika Selatan dan Zimbabwe.

Penutupan segera sempadan negara mengejutkan ramai pihak, dengan pengembara mula memenuhi lapangan terbang antarabangsa Johannesburg, untuk segera menaiki penerbangan terakhir menuju ke negara yang sudah mengumumkan sekatan perjalanan. – AFP

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Dua beradik bersatu semula selepas 75 tahun

BHATINDA, INDIA, 12 OGOS – Air mata kegembiraan membasahi pipi seorang pekerja buruh India yang akhirnya bertemu abang tersayang dari Pakistan buat pertama kalinya...
- Advertisment -