Australia lulus undang-undang wajibkan firma teknologi bayar kandungan berita

SYDNEY, 25 FEB – Parlimen Australia meluluskan undang-undang penting hari ini yang mewajibkan firma gergasi digital global membayar kandungan berita tempatan.

Google kini perlu membayar kandungan berita yang disiarkan menerusi panel Showcase pada platform itu, Facebook pula dijangka membayar kandungan berita yang disiarkan pada produk News, ciri tambahan yang akan diperkenal di Australia, pada tahun ini.

Agensi pengawal selia negara itu sebelum ini mendakwa syarikat berkenaan yang mendominasi pengiklanan digital mengaut keuntungan daripada organisasi media tradisional dengan menggunakan kandungan berita secara percuma.

Kerajaan berkata, undang-undang baharu dikenali sebagai ‘News Media and Digital Platforms Mandatory Bargaining Code’ akan memastikan perniagaan berita mendapat imbalan yang cukup untuk kandungan dihasilkan, sekali gus membantu kelangsungan kewartawanan di Australia. –AFP