Australia mahu kukuhkan perkongsian dengan India

NEW DELHI, 10 Jan – Australia berhasrat untuk memainkan peranan lebih besar di Lautan Hindi dan berharap dapat membina perkongsian serantau dengan India.

Menteri Luar Australia, Marise Payne berkata kedua-dua negara mempunyai banyak matlamat sama di Asia Pasifik di tengah-tengah peningkatan persaingan strategik dalam kalangan kuasa besar.

“Apabila persaingan semakin bertambah, Australia dan India mempunyai kepentingan bersama untuk memastikan pembangunan terbuka, inklusif dan makmur di rantau Indo-Pasifik,” katanya semasa berucap di perhimpunan geopolitik Dialog Raisina di New Delhi pada Rabu.

Menteri Luar itu berkata forum yang berpusat di ASEAN seperti Sidang Kemuncak Asia Timur dan Forum Serantau ASEAN juga berperanan memperkukuhkan hubungan serantau di Lautan Hindi. Dengan separuh perdagangan antarabangsa negara melintasi Lautan Hindi dan lima daripada 15 rakan dagangan utama terletak di pinggir lautan itu, Australia melabur dalam projek ketenteraan untuk melindungi kepentingannya.

“Kami melabur sejumlah AS$ 1 bilion untuk kemudahan untuk kapal peronda pesisir, kapal perang dan kapal selam di Australia Barat, sekali gus mencerminkan komitmen jangka panjang negara itu di Lautan Hindi,” kata Payne.

Di samping itu katanya, India dan Australia mempunyai matlamat sama dalam memerangi jenayah rentas sempadan, keganasan, penyeludupan manusia dan penangkapan ikan secara haram. – Bernama