Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Australia, mangsa terselamat berang pembebasan Patek

    SYDNEY, 8 DIS – Mangsa-mangsa letupan bom Bali 2002 berang hari ini selepas seorang daripada pembuat bom dibebaskan dari penjara Indonesia, hanya selepas menjalani separuh tempoh masa pemenjaraannya selama 20 tahun.

    Pembuat bom itu, Umar Patek merupakan ahli kumpulan dikaitkan dengan Al-Qaeda yang meledakkan dua butir bom di luar sebuah bar dan kelab malam Bali pada Oktober 2002, membunuh 202 orang – termasuk 88 warga Australia.

    Patek dibebaskan dengan parol pada Rabu oleh pihak berkuasa Indonesia, meskipun rayuan daripada kerajaan Australia untuk terus mengekalkannya dalam penjara.

    Salah seorang mangsa terselamat serangan, Peter Hughes yang bercakap pada perbicaraan Patek dalam 2012, mengatakan ekstremis yang disabit kesalahan itu layak mendapat ‘hukuman paling berat.’

    “Membiarkan dia bebas seperti satu jenaka,” dia memberitahu penyiar kebangsaan Australia, ABC.

    Pelancong asing melihat plak bertulis nama mangsa-mangsa pengeboman Bali di Monumen Peringatan Pengeboman Bali di Kuta, Bali, Indonesia, 8 Disember. Kerajaan Australia dan mangsa-mangsa terselamat pengeboman itu melahirkan kemarahan atas pembebasan Umar Patek, salah seorang dalang pengeboman itu. – AP

    Pihak berkuasa Indonesia mengatakan mereka percaya Patek telah pun menjalani pemulihan diri dalam penjara selepas menamatkan program deradikalisasi.

    Patek mengatakan dia mahu mengabadikan dirinya menyemai deradikalisasi dalam kalangan banduan lain.

    Dalam pada itu, kerajaan Australia meminta jaminan dari Indonesia bahawa lelaki itu akan terus dipantau selepas pembebasannya.

    Timbalan Perdana Menteri Australia, Richard Marles mengatakan pembebasan Patek adalah sesuatu yang sukar diterima rakyat Australia terutama mereka yang kehilangan orang tersayang dalam pengeboman itu.

    Menurutnya, Australia telah menggesa Indonesia untuk terus ‘memantau’ Patek,” katanya memberitahu ABC. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...