Australia masih intai peluang ke Piala Dunia

AL-RAYYAN, QATAR, 8 JUN – Ajdin Hrustic menjaringkan gol lewat untuk menyaksikan Australia memenangi perlawanan sengit 2-1 ke atas pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kelmarin dan mara ke perlawanan kelayakan terakhir bagi menempah tempat dalam Piala Dunia di Qatar nanti.

Dalam perlawanan tersebut, sepakan voli Hrustic yang terlantun pada minit ke-84 menjadi gol penentuan di Stadium Ahmad bin Ali, tempat yang akan menghoskan tujuh perlawanan Piala Dunia pada November ini.

Lebih daripada 4,000 penyokong UAE memenuhi separuh daripada keseluruhan penyokong dalam stadium berkapasiti 40,000 orang itu, dengan beberapa kemudahan seperti penyaman udara telah disediakan untuk para pemain.

Australia, bakal menentang Peru di stadium yang sama pada 13 Jun nanti untuk melayakkan diri buat kali kelima beraksi di pentas Piala Dunia, mengalami kesukaran untuk memenangi perlawanan dan jurulatihnya, Graham Arnold berkata bahawa dia mengharapkan yang lebih baik lagi daripada anak buahnya dalam perlawanan seterusnya.

“Saya gembira dengan pasukan ini. Saya berpendapat masih lagi ada ruang yang dapat dipertingkatkan,” kata Arnold.

Sebelum perlawanan tersebut, Arnold mengatakan bahawa dengan kekuatan mentaliti yang dimiliki anak buahnya akan membantu mereka memenangi perlawanan itu, sambil menambah dia telah mencabar anak buahnya jika mereka mampu berusaha lebih lagi.

Sementara itu, Harib Al-Maazmi, mencabar pertahanan Australia pada separuh masa pertama, sehingga 18 minit kemudian, dia berada dalam jarak yang dekat untuk menjaringkan gol tetapi dihalang oleh pertahanan Australia.

Kemudian, pemain sayap UAE menembusi pertahanan Australia sekali lagi 10 minit sebelum separuh masa pertama tamat tetapi penjaga gol Mathew Ryan berjaya melakukan penyelamatan.

Perlawanan tersebut kelihatan seperti memaksa masa tambahan tetapi sepakan voli daripada Hrustic yang terlantun masuk ke gawang menewaskan UAE. – AFP

Aksi Nathaniel Atkinson (kiri) melakukan percubaan merebut bola daripada Harib Al-Maazmi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia antara UAE dan Australia di Stadium Ahmad bin Ali, Qatar. – AFP