CANBERRA, AUSTRALIA, 22 NOV – Parlimen Australia meluluskan perjanjian perdagangan bebas dua hala dengan India dan Britain hari ini.
Perjanjian tersebut adalah penting bagi Australia untuk mempelbagaikan eksportnya dari pasaran China ke India dan keperluan Britain untuk menjalin hubungan perdagangan dua hala baharu sejak ia meninggalkan Kesatuan Eropah. Rang undang-undang itu diluluskan oleh Dewan Perwakilan semalam dan Senat dijangka menguatkuasakannya hari ini.
Perjanjian perlu disahkan oleh parlimen Britain dan India masing-masing sebelum ia dikuatkuasakan.
Menteri Perdagangan, Don Farrell berkata India telah menunjukkan komitmennya terhadap perkongsian ekonomi dua hala menerusi kualiti perjanjian yang dicapai.
“Hubungan ekonomi yang lebih erat dengan India merupakan komponen penting strategi pempelbagaian perniagaan kerajaan,” kata Farrell.
Farrell berkata perjanjian Britain ‘adalah penting untuk merangsang pertumbuhan ekonomi kami.’
Di bawah perjanjian Australia-Britain, lebih 99 peratus daripada eksport produk Australia akan dikecualikan daripada cukai, termasuk daging kambing biri-biri, daging lembu, hasil tenusu, gula dan wain.
Cukai ke atas 90 peratus produk Australia yang dieksport ke India termasuk daging, bulu biri-biri, kapas, makanan laut, kekacang dan avokado juga akan dibatalkan. – AP