Australia mulakan program vaksinasi

SYDNEY, 21 FEB – Seorang wanita mangsa Perang Dunia II, Jane Malysiak, 80an, menjadi orang awam pertama di Australia menerima suntikan vaksin COVID-19 di negara itu dalam program vaksinasi bermula hari ini.

Perdana Menteri, Scott Morrison menyifatkan kesediaan Malysiak yang juga penjaga warga emas untuk mendapatkan suntikan vaksin itu sebagai detik bersejarah bagi negara.

“Dia mengambil bahagian pada hari sangat bersejarah bagi negara. Esok permulaan program vaksinasi, sebagai pembuka tirai hari ini, kami tegaskan yang ia selamat, penting dan kita perlu mulakan dengan golongan paling rentan dan berada di barisan hadapan,” katanya.

Pelancaran vaksinasi COVID-19 Australia bermula esok dan hari ini pegawai atasan antara kumpulan kecil yang menerima suntikan pertama.

Morrison lebih awal mendapat suntikan vaksin Pfizer/BioNTech di pusat perubatan di barat laut Sydney, sebagai langkah meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap vaksinasi COVID-19. Ia berlaku sehari selepas tunjuk perasaan anti vaksin di bandar utama, disertai ribuan orang sehingga memaksa polis menahan beberapa perusuh di Melbourne.

Tinjauan Universiti Kebangsaan Australia mendapati, hampir 22 peratus rakyat Australia enggan mendapatkan suntikan COVID-19 ketika keraguan ter-hadap vaksin meningkat beberapa bulan lalu.

Program vaksinasi Australia bermula beberapa bulan selepas negara lain melaksanakannya, susulan persetujuan sementara produk Pfizer untuk digunakan, Januari lalu.

Vaksin Oxford/AstraZeneca juga diluluskan beberapa hari lalu, tetapi masih belum dapat dilaksanakan.

Australia berjaya menangani penularan virus itu dengan merekodkan hampir 29,000 kes dan 909 kematian bagi negara memiliki 25 juta rakyat. – AFP

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison (kiri) ketika menyaksikan Jane Malysiak menerima suntikan vaksin Pfizer/BioNTech di Pusat Perubatan Castle Hill di Sydney, kelmarin. – AFP