Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Australia, NZ bincang isu China

    CANBERRA, 8 JULAI – Perdana Menteri Australia dan New Zealand hari ini bersetuju bahawa implikasi keselamatan mengenai pengaruh China yang semakin berkembang mesti dibincangkan dalam pertemuan dengan pemimpin-pemimpin barat minggu hadapan.

    Pemimpin kedua-dua buah negara itu akan mengadakan pertemuan di Forum Kepulauan Pasifik (PIF) pada 11 hingga 14 Julai di ibu kota Fiji, Suva.

    Australia dan New Zealand bimbang dengan perjanjian keselamatan antara China dan Kepulauan Solomon yang dimeterai tahun ini mampu mendorong kepada penubuhan pangkalan laut China di selatan Pasifik.

    Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dan rakan sejawatnya dari New Zealand, Jacinda Ardern bersetuju semasa sidang media bersama di Sydney bahawa implikasi keselamatan mengenai pengaruh China di rantau ini perlu disuarakan dalam PIF.

    “Tidak disangkal bahawa keselamatan dan perjanjian keselamatan akan menjadi topik di PIF. Ia adalah salah satu sebab mengapa saya benar-benar ingin menghadirinya,” kata Albanese. “Ia berada dalam kepentingan negara Australia untuk saya berbuat demikian.”

    Jacinda Arden dan Anthony Albanese semasa menghadiri sidang media bersama di Sydney, Australia. – AP

    Albanese berkata Australia ingin kekal menjadi ‘pilihan rakan keselamatan’ bagi negara-negara kepulauan Pasifik yang berjiran.

    “Kedudukan Australia ialah kami akan terus berhubung dan kami menginginkan kerjasama dengan China di mana yang boleh, namun kami akan mempertahankan nilai-nilai Australia apabila perlu,” tegasnya.

    Sementara itu, Ardern berkata agenda semasa pertemuan itu nanti akan diaturkan oleh Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama, selaku pengerusi perjumpaan, namun peraturan forum membolehkan perbincangan mengenai perjanjian keselamatan yang mempengaruhi rantau itu.

    “Ia sepatutnya menjadi keutamaan negara-negara kepulauan Pasifik. Ia perlu bebas daripada paksaan.

    “Ia memerlukan pelaburan berkualiti dalam infrastruktur kerana itu yang selayaknya diberikan ke atas rantau ini,” kata Ardern. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...