Australia, Perancis meterai kontrak $50b

CANBERRA, 11 Feb – Australia secara rasmi menandatangani ‘perkongsian strategik’ bernilai Aus$50 bilion dengan Perancis hari ini untuk membina 12 buah kapal selam dalam satu isyarat yang menggambarkan keinginan Canberra untuk menyalurkan kuasanya ke seluruh Pasifik.

Perdana Menteri Scott Morrison ketika mengalu-alukan ‘rancangan yang sangat berani’ itu pada sebuah majlis di Canberra menyifatkannya sebagai ‘sebahagian besar pelaburan terbesar Australia dalam bidang pertahanan’.

Teras utama perkongsian itu adalah kontrak untuk pembuat kapal Naval Group dari Perancis, sebuah konsortium dengan sokongan negara untuk membina 12 buah kapal selam kelas serangan yang telah dibangunkan bertahun-tahun.

Dengan kos kira-kira AS$35 bilion, ia merupakan projek perolehan pertahanan terbesar di Australia dan perjanjian jualan asing terbesar yang pernah dilakukan oleh Naval Group.

Kapal selam pertama dijangka siap pada awal 2030an, bermula dengan ujian laut sekitar suku pertama 2031 dan ujian operasi pada akhir 2032.

Sebuah kapal selam sedang dibina di Limbungan Cherbourg Naval Group. Australia secara rasmi menandatangani ‘perkongsian strategik’ Aus$50 bilion dengan Perancis kelmarin untuk membina 12 buah kapal selam untuk menyalurkan kuasanya ke seluruh Pasifik. – AFP

Bagaimanapun, pengkritik berkata langkah itu sudah terlambat memandangkan perairan utara dan timur Australia adalah tempat perbalahan sengit antara Amerika Syarikat, China dan kuasa serantau yang bersaing untuk pengaruh masing-masing.

Beijing telah membuat banyak tuntutan wilayah di Laut China Selatan yang sangat penting untuk mengekalkan bekalan bijih, mineral dan mentah untuk menjana ekonomi China.

Washington pula bimbang China menjadi semakin berani membuat tuntutan itu untuk mempamerkan dominasinya kepada negara-negara Asia yang lebih kecil dan menjadi kuasa utama serantau.

Penganalisis tentera berharap kapal selam itu akan membolehkan Australia mencegah apa yang dipercayai sebagai kemungkinan tindakan bermusuhan.

Menteri Angkatan Bersenjata Perancis Florence Parly mengalu-alukan perjanjian itu dalam satu majlis yang dibayangi upacara peringatan kepada tentera AS di hadapan pejabat pertahanan Australia di Canberra. – AFP