Australia perlu bangkit

SYDNEY, 28 Jun – Australia perlu melupakan sikap rendah diri dan berhenti memikirkan mengenai diri mereka sebagai ‘pasukan bawahan,’ menurut bekas jurulatih kebangsaan, Ange Postecoglou hari ini selepas tersingkir daripada Piala Dunia.

Socceroos terkeluar daripada kejohanan di Rusia selepas tewas 2-0 di tangan Peru di Sochi tempoh hari, sekali lagi kurang menyengat apabila berada di depan gawang.

Australia hanya mencatat dua kemenangan dalam 16 perlawanan Piala Dunia selepas membuat penampilan pertama dalam kejohanan pada 1974. Pasukan Australia membawa masuk jurulatih dari Belanda, Bert van Marwijk selepas Postecoglou mengundur diri susulan kemaraan mereka ke Piala Dunia. Postecoglou kini mengendalikan kelab Jepun, Yokohama F. Marinos mempertahankan taktik serangannya dan berkata juara Asia itu tidak perlu takut gagal di pentas dunia.

“Jika cara kita ke depan dengan bergantung kepada kestabilan pertahanan dan saling bersaing, jadi biar ia menjadi rancangan kita,” menurutnya di laman sesawang PlayersVoice.

“Tetapi kita perlu menghapuskan sikap rendah diri. Masalah apabila sering menjadi pasukan bawahan adalah petanda bahawa anda belum maju.” Postecoglou berkata Australia masih memikirkan diri mereka sebagai pasukan bawahan, meskipun layak ke Piala Dunia sebelum ini.

“Apa yang telah berlaku sejak saya meninggalkan pasukan ini menunjukkan naluri saya adalah betul,” katanya. “Kita masih mahu menjadi pasukan bawahan. Kami mahu semua tahu bahawa lapan daripada 10 kali kita akan ditewaskan oleh pasukan terbaik tetapi ia tidak bermakna kita tidak boleh mengatasi mereka. – AFP