Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Australia pindah kakitangan kedutaan di Ukraine

    SYDNEY, 13 FEB – Australia telah mengarahkan semua kakitangan kedutaannya di Kyiv untuk berpindah, kata Perdana Menteri Scott Morrison hari ini, ketika Rusia terus meningkatkan tenteranya di sempadan negara itu bersama Ukraine.

    Pemindahan itu disusuli dengan pengumuman serupa dari Amerika Syarikat (AS) dan Kanada dan muncul selepas rundingan diplomasi melalui telefon gagal untuk mengurangkan ketegangan memuncak kelmarin.

    Rusia telah mengepung negara jiran baratnya itu dengan lebih 100,000 tentera.

    Ketegangan bertambah hebat selepas Washington memberi amaran serangan habis-habisan boleh bermula ‘bila-bila saja’ dan Rusia melancarkan latihan tentera laut terbesarnya selama bertahun-tahun di seluruh Laut Hitam.

    Morrison berkata Australia akan mengalihkan operasinya ke bandar Lviv yang terletak berhampiran sempadan Ukraine dengan Poland, iaitu kira-kira 540 kilometer timur Kyiv.

    Beliau berkata, tiga kakitangan kedutaan yang masih berada di Kyiv telah membantu ramai rakyat Australia di Ukraine yang kebanyakannya memegang dua kerakyatan.

    “Seperti yang anda dengar, situasi ketika ini bertambah buruk dan mencapai tahap sangat bahaya,” katanya.

    Sambil mengecam tindakan Rusia yang disifatkan sebagai autokratik dan unilateral, Morrison turut menyentuh isu politik serantau dengan mengkritik China kerana ‘kekal berdiam diri berhubung penambahan tentera Rusia yang ditempatkan berhampiran sempadan Ukraine.’ – AFP

    Pengunjung menunggu di balai berlepas menjelang penerbangan mereka di lapangan terbang Boryspil kira-kira 30km luar Kyiv pada 13 Februari. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...