Australia rancang perjalanan bebas kuarantin dengan Jepun, Korea Selatan

CANBERRA, 11 NOV – Perdana Menteri Australia Scott Morrison merancang mengatur gelembung perjalanan dengan Jepun dan Korea Selatan memandangkan negara itu kini secara beransur-ansur membuka kembali pintunya kepada dunia, lapor Xinhua.

Morison baru-baru ini memberitahu Dewan Perniagaan dan Industri Victoria mengenai perjalanan bebas kuarantin antara Australia dan kedua-dua negara Asia itu akan disambung semula selepas lebih 18 bulan dihentikan.

Setakat Isnin, warga Australia yang lengkap divaksin boleh ke Singapura tanpa dikuarantin dengan syarat mereka negatif ujian COVID-19 dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas dan semasa ketibaan.

Mulai  21 November, pelaksanaan yang sama juga akan dilakukan di Australia dengan pengembara dari Singapura boleh terbang ke Canberra, Melbourne dan Sydney tanpa perlu menjalani kuarantin.

“Singapura akan dibuka pada 21 Nov. Saya fikir kita juga akan beralih ke Korea Selatan dan Jepun dan sebelum akhir tahun ini saya berharap lebih banyak yang akan dibuka,” kata Morrison kelmarin. – Bernama