SYDNEY, 4 Okt – Australia hari ini mendedahkan rancangan untuk menahan suspek keganasan selama 14 hari tanpa didakwa dan mengukuhkan pangkalan data kebangsaannya untuk memasukkan data biometrik dari lesen-lesen pemandu.
New South Wales telah pun membenarkan penahanan 14 hari, tetapi negeri dan wilayah lain hanya membenarkan seminggu atau kurang dan kerajaan persekutuan mahu menstandardkan undang-undang.
Perdana Menteri Malcolm Turnbull berkata “Kita perlu menjajarkan undang-undang tahanan sebelum dakwaan di seluruh negara supaya mereka yang berhasrat membahayakan kita boleh dipertanggungjawabkan di mana saja mereka berada.”
Tahap kecemasan keganasan kebangsaan Australia dinaikkan pada September 2014 di tengah kebimbangan serangan oleh individu-individu yang mendapat inspirasi dari pertubuhan seperti kumpulan jihad IS.
Pihak berkuasa mengatakan 13 serangan telah dihalang beberapa tahun lalu, namun beberapa serangan telah berlaku, termasuklah pengepungan sebuah kafe di Sydney pada tahun 2014 yang mana dua orang tebusan telah terbunuh.
Serangan terbaru yang berjaya dihalang dikatakan melibatkan komplot arahan IS untuk menjatuhkan sebuah pesawat udara dengan menggunakan gas beracun atau bom bermasa yang disamarkan sebagai pengisar daging.
Turnbull menggesa gambar-gambar lesen pemandu ditambah ke pangkalan data kebangsaan yang telah pun termasuklah gambar-gambar pasport dan data imigresen supaya polis boleh mengenal pasti pengganas-pengganas yang disyaki dengan lebih cepat.
Beliau juga mahu menjadikan satu kesalahan memiliki bahan yang mengandungi arahan yang boleh digunakan untuk melancarkan serangan ganas. – AFP