Australia rayu semua rakyat patuhi penjarakkan sosial

CANBERRA, 8 APRIL – Menteri Kesihatan Australia Greg Hunt merayu rakyat negara ini terus mengamalkan penjarakkan sosial dalam usaha untuk mengehadkan rantaian jangkitan COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.

Sehingga 6 pagi waktu tempatan hari ini, terdapat 5,956 kes COVID-19 dilaporkan di Australia, mewakili peningkatan kira-kira dua peratus daripada 5,844 kes kelmarin.

Jumlah kematian pula meningkat kepada 50 orang, kira-kira 300 pesakit sedang dirawat di hospital – kurang daripada 40 pesakit menggunakan mesin alat bantuan pernafasan.

Angka itu menunjukkan peningkatan kes kurang tiga peratus untuk tiga hari berturut-turut.
Bagaimanapun, Hunt berkata jumlah kes boleh meningkat mendadak jika penduduk Australia tidak mematuhi jarak sosial sempena sambutan Hari Easter pada hujung minggu.

Lebih 313,000 saringan kesihatan telah dijalankan di Australia, dengan kira-kira 1.9 peratus didapati positif COVID-19. – Bernama