Australia salahkan EU isu bekalan vaksin

SYDNEY, 7 APRIL – Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, hari ini menyalahkan penghantaran bekalan vaksin yang terhad dari Eropah sehingga memaksa negara itu menghentikan program inokulasi, ketika beliau menerima kritikan daripada rakyat negara itu yang kecewa dengan program vaksinasi yang perlahan.

Scott Morrison berkata kekurangan vaksin dan ‘kawalan ketat eksport’ yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Eropah (EU) mengakibatkan Australia cuma menerima 700,000 daripada 3.8 juta dos berdasarkan kontrak vaksin Oxford-AstraZeneca.

Meskipun Australia menerima pujian masyarakat antarabangsa kerana dapat mengekang penularan COVID-19 dengan jayanya, negara itu terkebelakang dari segi jadual pelaksanaan program imunisasi.

Berdasarkan perjanjian awal, sebanyak empat juta dos akan dihantar pada hujung Mac lalu, bagaimanapun, setakat hari ini, penghantaran vaksin hanya berjaya sekitar 920,000 dos – mengundang kritikan hebat yang cuba diperjelaskan oleh Morrison dalam satu sidang media.

“Sebanyak 3.1 juta vaksin tidak tiba di Australia. Itu fakta ringkas. Ini bukan perselisihan. Ini bukan konflik. Ini bukan hujahan. Ini bukan pertikaian. Ini hanya fakta ringkas,” katanya.

Setakat ini, Australia menerima sekitar 870,000 dos vaksin jenis Pfizer/BioNTech yang diberikan untuk petugas barisan hadapan.

Bagi menampung populasi di negara itu, pihak berkuasa terpaksa bergantung terhadap import dan dos vaksin AstraZeneca yang dibangunkan secara tempatan.

Bagaimanapun, masalah timbul pada bulan lalu apabila Itali menyekat eksport sebanyak 250,000 dos AstraZeneca berikutan negara itu sedang bergelut untuk menangani krisis penularan COVID-19 di dalam negara – satu penangguhan yang kerajaan Morrison tegaskan tidak akan menjejaskan rancangan pelaksanaan program vaksinasi di negara itu. – AFP

Menteri Kesihatan Australia, Greg Hunt (kiri) melihat seorang jururawat menerima vaksin AstraZeneca di Melbourne pada 7 April. Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menyalahkan bekalan vaksin terhad dari Eropah. – AFP