DOHA, 7 JUN – Jurulatih Australia, Graham Arnold berharap kekuatan mentaliti anak buahnya mampu memberikan kemenangan ke atas pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan seterusnya mara ke perlawanan playoff bagi menempah tempat di pusingan akhir Piala Dunia nanti.
Arnold mengatakan Australia nampaknya suka melayakkan diri dengan cara sukar tetapi menegaskan bahawa mereka bersedia untuk perlawanan di Stadium Ahmad bin Ali, Doha.
Pemenang daripada perlawanan tersebut bakal menentang Peru di stadium yang sama pada 13 Jun nanti untuk beraksi di pentas Piala Dunia di Qatar pada November ini.
Sementara itu, New Zealand akan menentang Costa Rica sehari kemudian untuk menempah satu tempat di pusingan akhir perlawanan kelayakan tersebut.
Menurut Arnold semasa ditemui, Australia telah bermain sebanyak 14 kali daripada 18 perlawanan dalam pusingan kelayakan di Timur Tengah dan mengakui pasukannya berdepan dengan pelbagai kesukaran untuk mara ke final menerusi playoff serta perkara tersebut terjadi adalah disebabkan oleh beberapa sekatan perjalanan sepanjang penularan wabak koronavirus.
“Australia sudah biasa melakukannya dengan cara sukar. Ini adalah kali kelima dalam perlawanan playoff dan ia merupakan satu pengalaman yang kami sudah biasa,” kata jurulatih tersebut semasa memberitahu sidang media sebelum menjalani sesi latihan terakhir kelmarin. – AFP