Australia sertai misi di Selat Hormuz

CANBERRA, AUSTRALIA, 21 OGOS – Australia menyertai Britain dan Bahrin dalam misi keselamatan maritim diketuai Amerika Syarikat bagi melindungi laluan perkapalan di sepanjang Selat Hormuz di tengah ketegangan bersama Iran, kata Perdana Menteri Scott Morrison hari ini.

Morrison berkata, Australia akan menyediakan sebuah kapal perang kecil, pesawat peninjau maritim untuk melindungi laluan perkapalan dari Iran. Langkah itu diambil susulan beberapa insiden, termasuk penahanan sebuah kapal tangki membabitkan Iran dan kuasa Barat, seperti Britain dan Amerika Syarikat yang berpusat di terusan utama negara Teluk itu.

Menurut Morrison lagi, kapal perang Australia akan dilencongkan daripada operasi antilanun di Timur Tengah, sementara angkatan akan ditempatkan di ibu pejabat yang menyelaras misi keselamatan maritim diketuai AS. – AP/AFP