Thursday, April 18, 2024
34.4 C
Brunei

    -

    Australia-Singapura meterai perjanjian sifar bersih

    CANBERRA, AUSTRALIA, 18 OKT – Pemimpin-pemimpin dari Australia dan Singapura hari ini mengumumkan apa yang mereka sifatkan sebagai perjanjian yang pertama di dunia untuk bekerjasama dalam peralihan ekonomi karbon sifar bersih.

    Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese mengariskan Perjanjian Ekonomi Hijau antara kedua-dua buah negara selepas pertemuan tahunan di Bangunan Parlimen Australia.

    Perjanjian tersebut mempunyai 17 komponen yang meliputi memudahkan perdagangan dan pelaburan dalam perkhidmatan hijau, menyelaraskan piawaian dan membina sektor pertumbuhan hijau melalui kerjasama antara perniagaan.

    Australia komited untuk mengurangkan pelepasan gas kepada sifar bersih menjelang 2050 dan Singapura sedang mempertimbangkan sasaran serupa.

    Albanese menyifatkan Singapura sebagai ‘salah sebuah ekonomi paling inovatif di dunia,’ sementara Australia berpotensi menjadi kuasa besar tenaga yang boleh diperbaharui disebabkan kawasan terbuka yang luas dan secara relatifnya mempunyai penduduk yang sedikit.

    Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong (kiri) dan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berjabat tangan semasa sidang media di Bangunan Parlimen di Canberra, Australia, kelmarin. – AP

    Perjanjian tersebut “akan menyokong inovasi tenaga bersih, membuka peluang perniagaan dan mewujudkan pekerjaan, serta membantu menyampaikan sasaran misi kami sambil meletakkan Australia sebagai kuasa besar tenaga boleh diperbaharui,” kata Albanese.

    Lee membayangkan lebih banyak kerjasama dalam perdagangan elektrik rentas sempadan dan ‘penerbangan mampan’ melalui apa yang disifatkannya sebagai ‘perjanjian pertama seumpamanya di dunia.’

    “Semua bidang tersebut merupakan kepentingan buat Singapura dan kami berharap dengan perjanjian ini bidang-bidang ini akan dapat bergerak ke hadapan,” jelas Lee.

    “Tetapi kami juga berharap perjanjian ini akan memberi galakkan kepada negara-negara lain untuk melihat apa yang kami mampu lakukan,” kata Lee.

    Singapura sudah merancang untuk menggunakan tenaga solar dari utara Australia untuk dihantar menggunakan kabel submarin sepanjang 4,200 kilometer. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...