Australia tawar pemegang pasport hk jadi ‘penduduk tetap’

SYDNEY, 12 JULAI – Kerajaan Australia akan menawarkan kira-kira 10,000 pemegang pasport Hong Kong yang kini tinggal di Australia untuk membuat permohonan sebagai penduduk tetap selepas visa mereka tamat.

Kerajaan Perdana Menteri Scott Morrison percaya bahawa kemasukan undang-undang keselamatan negara yang sukar di China di wilayah semi-autonomi bermaksud penyokong pro-demokrasi mungkin menghadapi kesukaran politik.

“Perkara ini sekali gus mendorong kebanyakan pemegang pasport Hong Kong mungkin mencari tempat baharu untuk didiami dan sebab itulah mengapa kami mengemukakan pilihan visa tambahan untuk mereka,” kata Pemangku Menteri Imigresen Alan Tudge kepada televisyen Australian Broadcasting Corp hari ini.

Untuk mendapatkan status penduduk tetap, pemohon tetap perlu lulus ujian karakter, ujian keselamatan kebangsaan dan seumpamanya,” kata Tudge.

“Jadi permohonan itu tidak dilakukan secara automatik. Tetapi ini setentunya akan menjadi jalan yang lebih mudah untuk menjadi penduduk tetap, dan jika anda sudah menjadi penduduk tetap, maka lebih mudah lagi untuk memohon sebagai kewarganegaraan di sini,” katanya.

“Jika mereka benar-benar mengalami kesukaran dan dapat membuktikannya, maka mereka dapat mengemukakan permohonan salah satu visa kemanusiaan kami dalam apa jua keadaan.“

Morrison mengumumkan minggu lalu Australia menghentikan perjanjian ekstradisi dengan Hong Kong dan melanjutkan visa untuk penduduk Hong Kong dari dua hingga lima tahun.

Langkah itu dibuat setelah China memintas Majlis Perundangan Hong Kong untuk melaksanakan undang-undang keselamatan tanpa perundingan awam. Pengkritik menganggapnya sebagai ‘mengehadkan kebebasan’ yang dijanjikan kepada bekas jajahan Britain, sebagai tindak balas terhadap tunjuk perasaan besar-besaran tahun lalu yang menuntut demokrasi yang lebih besar dan kebertanggungjawaban polis.

Undang-undang keselamatan negara melarang apa yang dilihat oleh Beijing sebagai kegiatan pemisah, subversif atau pengganas atau sebagai campur tangan asing dalam urusan Hong Kong. – AP