Australia terus perketat langkah cegah koronavirus

MELBOURNE, AUSTRALIA, 5 JULAI – Victoria, negeri yang teruk terjejas akibat koronavirus di Australia kini mencatatkan 74 lagi kes jangkitan baharu selepas mengumumkan 108 kes baharu kelmarin.

Peningkatan kadar jangkitan yang dilaporkan kelmarin itu mendorong ketua negeri, Daniel Andrews mengumumkan perintah berkurung ke atas sembilan blok perumahan awam di bandar yang mempunyai keramaian penduduk seramai 3,000 orang, di mana 27 kes telah dikesan.

Polis telah diarahkan untuk me-ngawal setiap pintu masuk kawasan perumahan itu dan penduduk tidak dibenarkan meninggalkan kediaman mereka dengan apa jua alasan. Andrews berkata penduduk akan membayar sewa mereka pada dua minggu akan datang dan akan menerima elaun bantuan antara 750 hingga 1,500 dolar Australia (AS$520 hingga AS$1,040). Kerajaan berkata mereka akan mengatur penghantaran makanan dan bekalan perubatan ke semua kediaman.

“Langkah ini diambil adalah bagi perlindungan untuk anda dan orang tersayang,” kata Andrews. “Dan kemudian, secara menyeluruh, langkah ini adalah bagi melindungi seluruh negara dan kami tidak membuat keputusan itu secara sambil lewa.”

Presiden Persatuan Perubatan Australia Tony Bartone menggesa pelonggaran sekatan COVID-19 dihentikan sementara di seluruh negara selepas lonjakan yang mencemaskan berlaku di Victoria.

“Penularan semula wabak ini memberi satu ikhtibar kepada negeri-negeri lainnya agar memikirkan semula untuk melakukan langkah-langkah pelonggaran sekatan mereka sehingga penularan komuniti di Melbourne terkawal untuk mengelakkan risiko situasi serupa berlaku dalam kalangan masyarakat mereka,” katanya dalam satu kenyataan. – AP

Kenderaan polis dilihat diletakan di luar salah sebuah daripada sembilan pangsapuri yang telah dikenakan perintah berkurung di Melbourne pada 4 Julai. – AFP