Australia tidak mahu ambil risiko

CANBERRA, Australia, 14 Mac – Perdana Menteri Australia, Scott Morrison (gambar bawah) hari ini berkata beliau tidak akan membahayakan para pegawai untuk berdepan dengan para pelampau dari Timur Tengah selepas seorang balu kumpulan Islamic State (IS) Australia meminta untuk membawa anak-anaknya pulang ke tanah air dari kem pelarian Syria.

Respons Perdana Menteri Scott Morrison dibuat selepas Australia Broadcasting Corp (ABC) menemu bual wanita di salah sebuah kem pelarian di utara Syria tempat dia tinggal bersama anak damit lelakinya dan seorang lagi anak perempuannya yang berusia enam bulan yang kekurangan zat sejak mereka lari meninggalkan kampung Syria, Baghouz, tempat kubu terakhir kumpulan IS.

ABC berkata wanita berusia 24 tahun itu enggan mengesahkan identitinya dan mengenakan tudung ketika temu bual itu, tetapi ia mendedahkan identitinya hari ini sebagai Zehra Duman.

Wanita itu mengatakan anak perempuannya perlukan rawatan hospital dan dia mahu membawanya pulang ke Australia.

“Tidak siapa pun benar-benar mengambil peduli akan kami di sini dan saya memahami kemarahan mereka terhadap kami di sini,” wanita itu memberitahu ABC dalam merujuk kepada rawatan pihak berkuasa Kurdis ke atas berpuluh-puluh ribu rakan-rakannya di kem itu.

“Tetapi anak-anak ini tidak seharusnya mengalami penderitaan seumpama ini,” tambahnya.

Morrison berkata rakyat Australia yang telah membawa keluarganya ke zon perang untuk berjuang bersama gerakan IS mesti bertanggungjawab bagi tindakan mereka.

“Tragedi besar bagi mereka yang menyertai para pengganas, untuk menyokong perjuangan para pengganas menerusi Daesh dan telah membawa keluarga-keluarga mereka ke zon perang yang mana di situ mereka pada dasarnya memerangi Australia, maka mereka telah meletakkan anak-anak mereka dalam keadaan yang berbahaya,” Morrison memberitahu para pemberita.

Dia menambah kata, “Saya tidak akan meletakkan mana-mana warga Australia dalam risiko untuk cuba mengeluarkan mereka dari situasi itu.”

Pakar keselamatan Universiti Deakin, Greg Barton berkata kerajaan tidak lagi menggunakan alasan risiko kerana gagal menghantar balik para pelampau Australia seperti yang dilakukan dengan betul oleh Australia apabila para pelampau berada di wilayah yang dikuasai para pejuang IS. – AP