Australia tutup negeri Victoria

MELBOURNE, 6 JULAI – Australia secara efektifnya akan menutup negeri Victoria daripada seluruh negara, menurut pihak berkuasa hari ini, mengumumkan langkah tak dijangka bagi menangani peningkatan kes koronavirus yang membimbangkan.

Buat pertama kali semenjak pandemik itu bermula, sempadan antara dua negeri paling padat Australia – Victoria dan New South Wales – akan ditutup semalaman hari ini, kata pegawai dari kedua-dua negeri itu.

Kediaman bagi lebih daripada 6.6 juta penduduk, Victoria mengumumkan satu rekod baharu 127 kes hari ini ketika virus itu merebak di Melbourne – termasuk kluster di beberapa blok apartmen yang padat penduduk.

Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews menerangkan keputusan untuk menutup negeri itu sebagai ‘tindakan bijak, tepat pada masanya memandangkan cabaran signifikan yang kita hadapi untuk membendung virus ini.’

Polis mengatakan mereka akan ‘menggunakan dron dan alat pemantauan udara lain’ bagi meronda sempadan yang luas, dengan denda dan hukuman penjara sehingga enam bulan bagi orang yang melanggar perintah.

Rancangan untuk membuka sempadan Victoria dengan Selatan Australia sudah pun dibekukan.

Selepas berminggu-minggu kelonggaran sekatan virus, Melbourne menyaksikan peningkatan dalam jangkitan komuniti, menyebabkan pegawai secara efektifnya menutup beberapa kejiranan kepada seluruh negara sehinggalah hujung Julai. Sebanyak 16 kes baharu dikesan di sembilan buah menara perumahan tinggi, dengan 3,000 penduduk dikenakan perintah berkurung dalam rumah mereka pada Sabtu, dalam satu daripada respons koronavirus paling tegas Australia setakat ini.

Sejumlah 53 kes keseluruhannya direkodkan di bangunan-bangunan ini yang merupakan kediaman bagi sejumlah besar penghijrah yang mudah terdedah kepada virus. –AFP

Polis mengawal akses ke apartmen perumahan di bawah perintah berkurung di Melbourne, Australia, kelmarin. Negeri paling teruk terjejas, Victoria dikenakan perintah tutup dari seluruh negara ketika ia menyaksikan peningkatan kes koronavirus. –AP