Australia umum dana AS$1.4 bilion bantu ‘penganggur’

SYDNEY, 16 JULAI – Australia mengumumkan hari ini dana berjumlah Aus$2 bilion (AS$1.4 bilion) bagi melatih semula pekerja yang terjejas akibat koronavirus, ketika pengangguran meningkat ke tahap tertinggi dalam masa lebih dua dekad.

Perdana Menteri Scott Morrison berkata dana baharu itu akan mewujudkan lebih 300,000 tempat dalam program latihan yang bertujuan untuk menyalurkan graduan dan mereka tanpa pekerjaan ke dalam sektor ‘pertumbuhan’.

“Ia telah menjejaskan ramai warga Australia di tempat industri mereka bekerja sekarang, di mana mereka akan mendapati sukar untuk mencari pekerjaan baharu dalam sektor-sektor tersebut,” katanya.

“Oleh itu kami ingin memastikan mereka mempunyai peluang…untuk mencari pekerjaan baharu dalam sektor-sektor lain, yang berpotensi, agar mereka boleh terus berdikari.”

Kadar pengangguran meningkat dari 7.1 peratus kepada 7.4 peratus pada Jun, menurut Biro Statistik Australia, membawa jumlah keseluruhan mereka yang tanpa pekerjaan kepada hampir satu juta di negara yang mempunyai penduduk sekitar 25 juta itu. – AFP