Australia umum ‘pertukaran vaksin dengan S’pura

CANBERRA, 31 OGOS – Australia hari ini memperoleh separuh juta vaksin koronavirus Pfizer dari Singapura di bawah ‘perjanjian pertukaran vaksin’ diumumkan Perdana Menteri Scott Morrisson hari ini.

Di bawah perjanjian itu, Australia akan menerima 500,000 dos yang dijadualkan hampir tarikh luput, menurut Australian Broadcasting Corporation (ABC). Sebaliknya, 500,000 lagi vaksin akan dihantar kembali ke Singapura dalam Disember apabila Australia dijangka mendapat bekalan yang mencukupi.

Morrison berkata dos-dos dari Singapura akan tiba dalam masa beberapa hari lagi dan akan diagihkan ke seluruh negara minggu depan dalam satu rangsangan utama bagi program vaksinasinya.

“Kita perlu memvaksin seluruh negara dan kita perlukan dos-dos tersebut untuk diagihkan di seluruh negara dan digunakan,” katanya memberitahu wartawan. “Ia sangat membantu program vaksinasi kebangsaan memandangkan ia akan menyaksikan dua kumpulan usia utama bagi pemvaksinan iaitu 16-29 tahun, yang sudah pun bermula minggu ini. Dan tentunya mereka yang berusia 12-15 tahun,” kata Morrisson.

Pengumuman dibuat ketika Australia kini memerangi gelombang ketiga jangkitan COVID-19, dengan 1,253 kes baharu tempatan dilaporkan hari ini.

Setakat Isnin, 58.7 peratus warga Australia berusia 16 tahun ke atas sudah pun menerima suntikan vaksin dos pertama COVID-19 dan 35 peratus pula sudah diinokulasi sepenuhnya. – Xinhua

Seorang wanita berjalan melepasi poster menggalakkan orang ramai mendapatkan suntikan vaksin di Melbourne, 31 Ogos, ketika negara itu melanjutkan perintah berkurung keenam dan memerangi penularan varian Delta. – AFP