Australia usul undang-undang baharu

CANBERRA, 21 Feb – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Australia telah mendedahkan cadangan undang-undang baharu yang akan melarang rakyat Australia yang menimbulkan ancaman yang berbentuk pengganasan daripada pulang ke negara itu untuk tempoh dua tahun.

Di bawah undang-undang, yang diperkenalkan di Parlimen oleh Peter Dutton hari ini, agensi-agensi keselamatan mempunyai kuasa untuk menangguhkan, memantau dan mengawal kepulangan rakyat Australia yang terlibat dalam keganasan di luar negara.

Ia juga akan memberikan kuasa kepada Menteri Hal Ehwal Luar Negeri untuk mengenakan perintah larangan sementara ke atas kepulangan pejuang luar negara dari Timur Tengah, mencegah mereka daripada kembali ke Australia selama dua tahun.

Dutton berkata kemampuan dalam mengeluarkan arahan itu adalah mustahak bagi menjauhkan rakyat Australia yang berjuang untuk kumpulan IS di Timur Tengah sejauh yang mungkin.

“Rakyat Australia yang terlibat dalam menyokong keganasan dan juga mungkin bertempur bersama pengganas di Syria atau Iraq, mewujudkan ancaman, terutama sekali sejak kejatuhan IS,” beritahunya kepada News Corp Australia hari ini.

“Itu adalah sebab kenapa kami memperkenalkan perintah larangan sementara bagi mencegah rakyat Australia yang terlibat dalam pengganasan luar negara daripada kembali ke Australia untuk tempoh sehingga dua tahun.”

Individu yang termasuk di dalam perintah larangan sementara hanya boleh kembali ke Australia sebelum tempoh dua tahun habis menerusi permit yang dikeluarkan oleh menteri.

“Pengembalian permit boleh menentukan syarat terhadap individu yang mahu pulang ke Australia, seperti tarikh pulang, penerbangan dan pengurusan keselamatan, bagi mengawal mana-mana ancaman,” menurut Dutton. – Xinhua

Peter Dutton memperkenalkan undang-undang baharu kepada parlimen yang akan melarang rakyat Australia yang menimbulkan ancaman yang berbentuk pengganasan daripada pulang ke negara itu untuk tempoh dua tahun. – AP