SYDNEY, 25 Jun – Australia akan berunding satu perjanjian keselamatan dengan Vanuatu, demikian menurut satu pengumuman yang keluar hari ini, beberapa bulan selepas satu laporan yang mencadangkan China mahu membina pangkalan tentera di negara Pasifik itu.
Perdana Menteri Malcolm Turnbull menganggap Vanuatu salah satu ‘rakan utama’ Canberra dan selepas menjadi tuan rumah kepada rakan sejawatnya, Charlot Salwai berkata satu pakatan keselamatan sedang diusahakan.
“Kami bersetuju dengan rundingan mengenai perjanjian keselamatan dua hala berhubung kepentingan keselamatan umum, seperti bantuan kemanusiaan dan tindak balas krisis, pengawasan maritim dan keselamatan sempadan, kerjasama polis dan pertahanan,” kata Turnbull.
Dia menambah Australia akan menawarkan bantuan teknikal untuk menyokong Port Vila dalam memajukan strategi keselamatan negara itu untuk memastikan ‘Vanuatu yang stabil, mampan dan makmur’.
Canberra juga bersetuju untuk membiayai sektor pendidikan Vanuatu, menambah peluang pekerjaan bagi penduduknya di Australia dan memperkukuh perkongsian keselamatan siber.
Ibu negara serantau telah pun berasa bimbang mengenai sifat pendesak China yang meningkat di Pasifik menerusi ‘diplomasi lembut’, ketika Beijing membiayai wang pembangunan kepada negara-negara lain di sana.
Australia dan New Zealand bimbang ia mungkin menjejaskan keseimbangan strategik serantau.
Pada April lalu, akhbar Sydney Morning Herald berkata China telah berjumpa dengan Vanuatu mengenai kemungkinan pembukaan sebuah pangkalan tentera di sana, sekali gus mencetuskan kebimbangan di Canberra. Beijing dan Port Vila menegaskan tidak adanya rancangan sedemikian.
Lawatan Salwai adalah yang terbaharu daripada beberapa aktiviti ke Canberra dalam beberapa bulan ini.
Turnbull juga menerima kedatangan pemimpin Papua New Guinea dan Solomon Islands, sementara Menteri Luar Negara, Julie Bishop telah melawat Palau, Micronesia dan Marshall Islands.
Australia mengumumkan penumpuan semula program bantuan asingnya pada Mei lalu dalam satu tindakan untuk mendapatkan sokongan penduduk negara pulau Pasifik itu.
Pada awal bulan ini, ia bersetuju untuk membantu membiayai dan membina kabel komunikasi di bawah laut ke Solomon Islands. – AFP