Austria batal sekatan perjalanan mulai 16 Jun

VIENNA, 10 JUN – Austria mengumumkan hari ini ia akan membuka semula sempadannya dengan Itali mulai 16 Jun dan membenarkan perjalanan bebas dari kebanyakan negara Eropah lain mulai tarikh itu apabila negara melonggarkan sekatan koronavirus.

Pada minggu lalu, Austria telah pun melonggarkan sekatan untuk perjalanan ke beberapa negara jiran tetapi tidak termasuk Itali, salah sebuah negara yang paling teruk terjejas oleh pandemik koronavirus di Eropah.

“Ya, kami sedang membuka sempadan. Ya, perjalanan ke Itali, ke Greece, ke Croatia misalnya boleh dilakukan,” beritahu Menteri Luar Alexander Schallenberg pada sidang media hari ini.

Mulai 16 Jun, Austria akan mengalu-alukan pengunjung dari 31 buah negara tanpa sekatan, termasuk kebanyakan Eropah. Negara yang dikecualikan adalah Sweden, Sepanyol, Portugal dan United Kingdom, kata Schallenberg. – AFP