Austria sekat individu belum divaksin

VIENNA, 15 NOV – Austria menjadi negara pertama di EU hari ini mengenakan sekatan pergerakan ke atas individu yang belum menerima vaksin dan yang pertama memulakan inokulasi ke atas kanak-kanak berusia lima tahun.

Kadar jangkitan meningkat telah meletakkan negara Eropah Barat sekali lagi di tengah-tengah epidemik global dan kerajaan dipaksa untuk mengambil tindakan, dengan Netherlands sudah pun mengumumkan sekatan pergerakan separa pertama di rantau itu pada musim sejuk.

Austria telah menginokulasi sekitar 65 peratus daripada sembilan juta penduduknya, di bawah purata EU sekitar 67 peratus.

Kadar jangkitan baharu harian masih lagi di ambang 12,000 beberapa minggu kebelakangan, meningkat kira-kira 2,000 sehari pada September.

Namun sekatan ke atas orang yang belum divaksin telah mengakibatkan kemarahan, dengan ratusan orang berkumpul di Vienna kelmarin untuk mengadakan bantahan.

“Peraturan itu menyekat kehidupan dan kebebasan saya. Waktunya telah tiba untuk orang ramai bersuara,” kata pembantah Sabine, seorang konsultan tenaga berusia 49 tahun, memberitahu AFP semasa perhimpunan itu, menggelar langkah itu sebagai ‘diskriminasi’.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan liputan vaksinasi, pihak berkuasa di Vienna juga menjadi negara pertama di EU yang memulakan vaksinasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun. – AFP

Kanak-kanak menunggu untuk menerima suntikan pertama vaksin koronavirus mereka di Vienna, Austria pada 15 November. – AFP