Autoriti Petroleum kawal selia sektor minyak dan gas

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan titah perkenan bagi penubuhan Perintah Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam, 2019 yang berkuat kuasa 31 Disember 2019.

Perintah tersebut, antara lainnya mewujudkan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam, lembaga pengarah dan hal ehwal berkaitan dengan operasi, fungsi dan tanggungjawabnya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga, di sini, hari ini, menyatakan bahawa Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam merupakan badan berkanun yang ditugaskan oleh Kementerian Tenaga untuk menjalankan pengawalseliaan dan pemantauan operasi dan prasarana di sektor huluan, pertengahan (midstream) dan hiliran minyak dan gas, dan juga sebagai penyimpan maklumat data petroleum negara.

Penubuhan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam merupakan perkembangan signifikan bagi pembangunan sektor minyak dan gas Negara Brunei Darussalam dan menyumbang kepada iklim perniagaan yang lebih kondusif bagi sektor ini.

Penyatuan fungsi-fungsi pengawalseliaan di peringkat operasi di bawah satu badan itu adalah bertujuan untuk memperkemaskan operasi dan meningkatkan ketelusan proses bagi para peniaga dan pelabur ke arah pertumbuhan dan pempelbagaian industri minyak dan gas.

Badan berkanun itu juga akan menjadi sumber kepakaran teknikal kerajaan dalam hal ehwal petroleum dan ia ditugaskan oleh Kementerian Tenaga sebagai badan pelaksana bagi mengkoordinasi pembangunan sektor petroleum ke arah pemeliharaan keselamatan tenaga pada jangka masa panjang dan menjamin penggunaan serta pembangunan sumber minyak dan gas secara berdaya tahan, menurut hala tuju strategik kementerian.

Antara lain peranan utamanya adalah pemantauan, pembangunan dan perlaksanaan garis pandu dan piawaian teknikal bagi meningkatkan nilai pengeluaran sektor berkenaan. Ini menyumbang kepada sektor minyak dan gas yang lebih stabil dan berdaya tahan bagi mendukung perkembangan ekonomi negara.

Sebahagian daripada fungsi-fungsi operational berkaitan dengan sektor minyak dan gas yang dilaksanakan oleh Kementerian Tenaga digabungkan dengan peranan pengawalseliaan di bawah Syarikat PetroleumBRUNEI dalam penubuhan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam.

Syarikat PetroleumBRUNEI berfungsi semata-semata sebagai entiti komersial tanpa menjalankan hal ehwal pengawalseliaan yang bercanggahan.

Urus tadbir Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam dijalankan oleh lembaga pengarah yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Menteri Tenaga. Timbalan pengerusi baginya adalah timbalan menteri Tenaga. Ahli-ahli lain terdiri daripada setiausaha tetap (dasar dan fiskal) dan setiausaha tetap (pelaburan) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi; setiausaha tetap (infrastruktur, perumahan dan profesional), Kementerian Pembangunan; dan setiausaha tetap (tenaga), Kementerian Tenaga. Setiausaha tetap (tenaga) juga dilantik sebagai pengarah urusan sementara bagi Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam.