Avigan ubat rawat virus COVID-19

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Jepun sedang membuat persediaan untuk menghantar Avigan atau nama saintifiknya Favipiravir iaitu sejenis ubat merawat virus COVID-19 ke beberapa negara ASEAN minggu ini.

Walau bagaimanapun, Negara Brunei Darussalam masih memantau apa-apa perkembangannya sebelum membuat keputusan untuk mengambil ubat tersebut untuk digunapakai di negara ini.

Demikian telah dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa mengulas mengenai ubat tersebut di sesi soal jawab dalam Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Ubat yang disebutkan itu adalah ubat baharu. Jepun ketika ini sedang mencubanya dan menawarkan ubat berkenaan kepada beberapa buah negara.

“Tapi bagi kita (Brunei), kita masih memantau dulu apa perkembangannya jua sebelum kita membuat pengambilan ubat tersebut,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Jepun bersedia untuk menghantar Avigan atau nama saintifiknya Favipiravir iaitu sejenis ubat merawat virus COVID-19 ke beberapa negara ASEAN. – Gambar hiasan

Beliau juga mengongsikan bahawa pihak Jepun juga ada mengongsikan beberapa maklumat mengenai ubat tersebut, namun buat masa ini mereka belum menggunakannya.

Dalam menjawab persoalan mengenai adakah Brunei akan membuka secara menyeluruh segala sekatan apabila vaksin virus tersebut telah ditemui, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjawab bahawa vaksin mengambil masa yang lama, secepatnya pada hujung tahun ini dan besar kemungkinan ia akan mengambil masa setahun ke 18 bulan.

Menurut Yang Berhormat Dato, keberkesanan vaksin juga perlu diuji samaada ia benar-benar dapat melindungi atau tidak.

“Jadi, perancangan memang dibuat iaitu bagaimana menarik balik sekatan secara berperingkat,” jelas beliau.