Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Awal Ashaari buka kafe

    Pengacara, Awal Shaari mendedahkan aroma kopi memiliki nilai sentimental tersendiri kepada dirinya apatah lagi ia juga menyatukan ikatannya dengan isteri tercinta, Scha Al Yahya.

    Awal atau Ahmad Awaluddin Ashaari, 42, berkata, sebagai penggemar kopi dia juga menyimpan impian untuk membuka sebuah kedai kopi disebabkan kenangan bersama isterinya itu.

    Bekas pengacara program Melodi itu berkata, dia tidak menyangka impian tersebut menjadi kenyataan apabila berhasil membuka cawangan pertama di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.

    “Saya dan Scha memang penggemar kopi. Kalau nak throwback kisah cinta saya bersama Scha dulu pun, kami selalu dating di sebuah kedai kopi di Bangsar.

    “Jadi boleh dikatakan kopi ini menyatukan saya dan Scha kerana kami berdua berkongsi air minuman yang sama.

    Air kopi satukan Awal dan Scha. – Agensi

    “Malah setiap kali kami melancong ke luar negara, perkara pertama yang kami akan kunjungi adalah kedai kopi kerana nak rasa kelainan di setiap lokasi.

    “Hari ini saya sangat terharu kerana impian yang dah lama saya tunggu akhirnya menjadi kenyataan dan segala proses berjalan dengan pantas,” katanya.

    Bukan sekadar kedai kopi biasa, Awal juga bercadang untuk menjadikan kedai kopi itu sebagai lokasi program podcast kendaliannya, The Great Coffee Talk.

    “Insya-Allah perancangannya selepas Aidilfitri ini. Saya nak buat podcast yang akan disiarkan di platform YouTube dan media sosial.

    “Mengikut perancangan awal saya nak jemput individu yang dapat memberikan inspirasi setiap minggu untuk berkongsi kisah hidup dan kejayaan mereka,” katanya lagi.

    Berkongsi mengenai pemilihan lokasi, Awal memberitahu bahawa Shah Alam menepati sasaran pasaran seperti pelajar universiti dan lokasinya yang strategik.

    Bukan itu sahaja, kedai miliknya itu juga boleh dijadikan tempat istirehat buat pelajar selepas tamat kuliah.

    “Saya memilih Shah Alam kerana lokasinya yang dekat dengan beberapa buah universiti selain menepati sasaran pasaran.

    “Kalau kita lihat tidak banyak kafe atau kedai kopi yang seumpama dengan kedai saya. Jadi sebagai permulaan saya pilih Shah Alam.

    “Malah kedai kopi ini juga boleh menjadi lokasi untuk pelajar universiti healing atau bersantai.

    “Sebab itulah rekaan kedai kopi ini sangat dekat dengan jiwa muda selain semua orang boleh datang nikmatinya,” ujarnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...