Awal tahun baharu hijrah 1442 terus disemarak

Oleh Sim Y. H. & Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Sambutan Tahun Baharu 1442 Hijrah terus disemarakkan dengan majlis-majlis sambutan yang diadakan oleh pelbagai pihak di negara ini termasuk kementerian-kementerian kerajaan.

Kementerian Tenaga, jabatan-jabatan di bawahnya serta badan-badan berkanun berkaitan adalah antara yang mengadakan majlis ceramah agama sempena Tahun Baharu Hijrah 1442 yang berlangsung di Dewan Teater Utama, Bangunan Jabatan Perdana Menteri, kelmarin.

Acara yang dianjurkan bersama oleh Pejabat Setiausaha Tetap, Unit Hal Ehwal Antarabangsa dan Unit Perundangan itu dihadiri oleh Pemangku Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw selaku tetamu kehormat majlis.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Tenaga), Haji Azhar bin Haji Yahya; Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga dan Kuasa Elektrik), Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Tenaga, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) serta Autoriti Petroleum Brunei Darussalam.

Pada majlis itu, ceramah bertajuk ‘Hakikat Hijrah’ telah disampaikan oleh Pengasas Bersama Pusat Al-Minhaaj, Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak yang mengimbau kembali signifikan hijrah yang membawa pengertian penghijrahan dalam konteks hijrah Nabi Muhammad SAW dan pengikut-pengikut Baginda dari Mekah ke Madinah.

Dato Seri Paduka Haji Matsatejo ketika menghadiri acara anjuran Kementerian Tenaga, jabatan-jabatan di bawahnya serta badan-badan berkanun berkaitan yang berlangsung di Dewan Teater Utama, Bangunan Jabatan Perdana Menteri. – Gambar serahan Kementerian Tenaga
Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke ketika menghadiri Majlis Sambutan Awal Tahun Baharu Hijrah 1442 Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Awang Abdul Rahman menyampaikan ceramah bertajuk ‘Hakikat Hijrah’ pada majlis anjuran Kementerian Tenaga, jabatan-jabatan di bawahnya serta badan-badan berkanun berkaitan. – Gambar serahan Kementerian Tenaga
Dr Haji Norarfan menyampaikan Anugerah Dekan kepada salah seorang penerima pada Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1442 dan Penyampaian Anugerah Dekan sesi pengajian 2019/2020 di UNISSA. – Gambar serahan UNISSA
Gambar ramai pada majlis sambutan Awal Tahun Hijrah 1442 anjuran PKWE Daerah Brunei dan Muara.

Sebuah lagi kementerian kerajaan yang meraikan Awal Hijrah 1442 ialah Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya, yang berlangsung di Dewan Bertabur, kementerian berkenaan, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin dan turut hadir ialah setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, ketua divisyen atau unit, pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan.

Majlis diserikan dengan ceramah khas bertajuk ‘Perubahan Diri Bermula Pada Diri Sendiri’ yang disampaikan oleh penceramah undangan, Dr Andas Haji Ismuhadi bin Haji Abdullah dari Pusat Dakwah Islamiah.

Selain itu, Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Brunei dan Muara tidak ke-tinggalan menganjurkan majlis sambutan yang berlangsung di Dewan Serba guna PKWE di RPN Lambak Kanan.

Majlis bertemakan ‘Generasi Berilmu, Beramal dan Berakhlak Memacu Pembangunan Umat’ itu dihadiri oleh Pemangku Timbalan Pegawai Pencen-pencen Negara, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Atiqah binti Haji Ibrahim.

Majlis turut diserikan de-ngan ceramah bertajuk ‘Hijrah’ disampaikan oleh Dato Seri Setia Haji Matussin bin Haji Baki.

Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar pula telah mengadakan Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1442 dan Penyampaian Anugerah Dekan sesi pengajian 2019/2020 yang berlangsung di Dewan Auditorium, UNISSA.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Rekor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Majlis disemarakkan dengan forum khas bertemakan ‘Generasi Berilmu, Beramal, Berakhlak Memacu Pembangunan Umat’.

Ahli panel yang terlibat ialah pelajar Tahun 2 Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Haji Awang Muhammad Husny Bahry bin Haji Awang Yussof, dan pelajar Tahun 3 Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, Awang Muhammad Masnursyafiq Hisyam bin Abdullah Masri.

Pada majlis itu juga, seramai 93 orang pelajar UNISSA menerima Anugerah Dekan sesi pengajian 2019/2020 yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.