Awang Abdul Aziz cuba berikan yang terbaik

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Seorang qari telah berlepas ke Amman, Jordan, kelmarin, untuk menyertai Musabaqah Antarabangsa Kerajaan Hasyimiah bagi Lelaki kali ke-27 bagi Menghafaz, Membaca dan Mentafsir Al-Quran.

Pada pertandingan berkenaan, Awang Abdul Aziz bin Noor Nasran mewakili negara dalam Kategori Menghafaz 30 Juzuk Al-Quran.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada wakil negara ialah Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Haji Madzneh bin Haji Mohd Noor, Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Awang Hassan Baha bin Haji Umar dan Pemangku Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Haji Mohd Sujairi bin Haji Dollah.

Awang Abdul Aziz disertai sama tenaga pengajar di ITQSHHB, Awang Mohd Ali Sabri bin Haji Yusof selaku pengurus rombongan merangkap pembimbing.

Ketika ditemui di ruang berlepas, Awang Abdul Aziz turut berkongsi beberapa persiapan yang dilakukan sama ada bersama tenaga pengajar dan persendirian.

Beliau seterusnya menyatakan harapan untuk memberikan yang terbaik dalam musabaqah berkenaan sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Penyertaan musabaqah di luar negara ini merupakan kali ketiga bagi beliau bagaimanapun penyertaan di Jordan ini adalah penyertaan yang pertama.

Beliau merupakan johan Kategori E, Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan sempena Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara bagi Tahun 1440 Hijrah.

Awang Abdul Aziz bergambar bersama Awang Mohd Ali Sabri di Ruang Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.