Awang Seruji juara Golf Amal

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Sebanyak $22,700 berjaya dikutip daripada Perlawanan Golf Amal Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) ke-18 yang diadakan selama dua hari dan berakhir hari ini dengan majlis penyampaian hadiah berlangsung di Kelab Golf Penerbangan Diraja Brunei (RB), Berakas.

Hadir bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Pada pertandingan itu, Awang Seruji bin Haji Setia dinobatkan sebagai pemenang The Patron’s Challenge Trophy dengan mendapat 73 mata keseluruhan.

Seramai 219 orang pemain golf menyertai perlawanan kali ini bagi membantu menambah dana Pusat Ehsan, yang merupakan organisasi amal bukan kerajaan dan bukan berdasarkan keuntungan.

Perlawanan yang disokong oleh Kelab Golf RB, CityNeon Display and Construction, Borneo Bulletin dan Media Permata sebagai penyokong media cetak eksklusif itu turut menerima tajaan pelbagai syarikat dan orang persendirian antaranya GHK Motors Sdn Bhd yang turut menyumbang sebanyak $5,000 sebagai penaja perak.

Hasil kutipan daripada kejohanan berkenaan akan dapat membantu kanak-kanak dan belia berkeperluan khas di Pusat Ehsan dan pelan pembangunan serta pembiayaan bulanan di pusat berkenaan.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyampaikan trofi kepada Awang Seruji selepas menjuarai Perlawanan Golf Amal Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) ke-18.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyaksikan penyerahan replika cek sebanyak $5,000 daripada Chong Thien Fook bagi mewakili GHK Motors kepada Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan, Dato Paduka Haji Mohammad Alimin bin Haji Abdul Wahab.