Wednesday, December 7, 2022
31.3 C
Brunei

-

Awas! Jangan dekati riba

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

Siri Dua

Diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat, seperti Ibnu Mas‘ud, Ibnu ‘Abbas, Ubai bin Ka‘b dan Abdullah bin Sallam Radhiallahu ‘anhum yang ertinya: “Sesungguhnya mereka menegah daripada hutang yang boleh menjana manfaat.”

Merujuk kepada riwayat di atas, apakah maksud ‘menjana keuntungan daripada hutang’ yang dilarang itu?

Para ulama telah menghuraikan mengenai aktiviti mualamat hutang yang termasuk di dalam kategori ‘menjana keuntungan melalui hutang’ yang dilarang sebagaimana riwayat di atas dengan membawakan beberapa contoh akad seperti berikut:

1. Pemiutang meletakkan syarat supaya penghutang membayar lebih daripada kadar hutang.

Sebagai contoh, pemiutang berkata kepada penghutang: “Saya boleh menghutangkan kepada tuan wang sebanyak $100, dengan syarat tuan mesti membayar balik kepada saya sebanyak $120.”

Sebagai contoh lagi, pemiutang berkata kepada penghutang: “Saya boleh menghutangkan kepada tuan wang sebanyak $50, dengan syarat tuan mesti belanja saya makan sekali di restoran.”

Seorang yang berhutang, apabila dia membayar balik hutangnya dengan kadar melebihi jumlah yang dihutangkan dengan kehendak dan kerelaan sendiri, maka bayaran yang lebih itu bukan dinamakan riba.
Bagi tujuan pengesahan atau bagi memelihara akad hutang itu sendiri daripada berlaku kemungkiran di pihak yang berhutang, pemiutang boleh mengenakan syarat supaya akad hutang di antara penghutang dan pemiutang dibuat secara bertulis.

Pengenaan syarat oleh pemiutang kepada penghutang seperti dua contoh akad di atas iaitu ‘membayar lebih daripada yang dihutangkan iaitu sebanyak $20’ dan ‘belanja makan di restoran’ merupakan akad yang dilarang dan termasuk di dalam kategori ‘menjana keuntungan melalui hutang’.

2. Pemiutang meletakkan syarat supaya penghutang membayar balik dengan barang yang lebih elok berbanding dengan barang yang dihutangkan.

Sebagai contoh, pemiutang berkata kepada penghutang: “Saya boleh menghutangkan atau meminjamkan tuan sekilo beras gred C, dan tuan mesti bayar atau ganti balik kepada saya dengan sekilo beras yang lebih baik mutunya iaitu sekilo beras gred A.

Sebagai contoh lagi, pemiutang berkata kepada penghutang: “Saya bersedia menghutangkan kepada tuan seekor kambing saya yang tempang ini (tempang kerana salah satu kakinya patah) untuk disembelih.

Tetapi saya mahu tuan membayar atau mengganti balik kambing saya ini nanti dengan seekor kam-bing yang tidak tempang.”

Pengenaan syarat kepada penghutang iaitu ‘membayar balik dengan beras daripada gred yang lebih baik (gred A)’ dan ‘membayar atau mengganti balik dengan kambing yang tidak tempang’ di dalam dua contoh di atas merupakan akad hutang yang dilarang dan termasuk di dalam kategori ‘menjana keuntungan melalui hutang’.

3. Pemiutang meletakkan syarat supaya penghutang menyewa barang milik pemiutang dengan harga sewaan yang lebih tinggi.

Sebagai contoh, pemiutang berkata kepada penghutang: “Saya boleh menghutangkan tuan wang sebanyak $500, tetapi tuan hendaklah menyewa rumah saya ini dengan harga sewaan $50 lebih tinggi daripada harga sewaan biasa.”

Pengenaan syarat oleh pemiutang kepada penghutang seperti contoh akad di dalam senario di atas iaitu mensyaratkan penghutang menyewa rumah pemiutang dengan membayar harga sewa $50 lebih tinggi daripada harga sewaan biasa merupakan perbuatan yang dilarang dan termasuk di dalam kategori ‘menjana keuntungan melalui hutang’.

4. Pemiutang meletakkan syarat supaya penghutang menjual sesuatu barang miliknya kepada pemiutang.

Sebagai contoh, si A (penghutang) terdesak untuk berhutang duit bagi membiayai sesuatu keperluan.

Lalu si A pun pergi kepada si B (pemiutang) untuk berhutang duit sebanyak $2,000.

Apabila si A menyampaikan hasratnya itu kepada si B, si B pun bersetuju dengan bersyarat.

Si B berkata: “Saya boleh menghutangkan kepada tuan wang sebanyak $2,000, dengan syarat tuan jual tanah tuan itu kepada saya.”

Akad seperti ini juga termasuk di dalam kategori ‘menjana keuntungan melalui hutang’. Akad hutang dan jualan dalam satu masa seperti ini adalah tidak sah dan haram hukumnya.

Ini adalah berdasarkan hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya: “Tidak halal hutang bersama jualan” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Membayar balik hutang melebihi jumlah yang dihutangkan

Bagaimana pula hukumnya jika peng-hutang dengan sukarela, tanpa disyaratkan oleh pemiutang, membayar balik hutangnya dengan melebihi daripada kadar yang dihutangkan atau membayar balik dengan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang dihutangkan?

Seorang yang berhutang, apabila dia membayar balik hutangnya dengan kadar melebihi jumlah yang dihutangkan atau membayar balik dengan sesuatu yang lebih baik daripada barang yang dihutangkan dengan kehendak dan kerelaan orang yang berhutang itu sendiri, dan tanpa diminta atau disyaratkan oleh pemiutang, maka bayaran yang lebih itu atau bayaran dengan sesuatu yang lebih baik itu bukan dinamakan riba.

Bahkan pembayaran yang sedemikian itu adalah suatu perkara yang elok dan hukumnya adalah sunat.

Bayaran lebihan itu dianggap sebagai pemberian (tabarru‘) daripada penghutang. Berlainan keadaannya jika lebihan itu disebut atau disyaratkan dalam akad, maka yang demikian itu dinamakan riba.

Perkara ini berdasarkan riwayat daripada Abu Rafi‘ Radhiallahu ‘anhu, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berhutang seekor unta muda kepada seorang lelaki.

Kemudian Baginda mendapat unta sedekah, lalu memerintahkan Abu Rafi‘ membayarkan hutang Baginda kepada lelaki tadi dengan seekor unta muda. Abu Rafi‘ kembali kepada Baginda dan berkata: “Saya tidak menemukan dalam kumpulan unta sedekah itu kecuali unta yang bagus.”

Lalu Baginda bersabda yang maksudnya: “Bayarkan kepadanya, kerana sesungguhnya sebaik-baik manusia adalah yang paling baik dalam membayar hutangnya.” (Hadits riwayat Muslim)

Akad hutang bersyarat yang tidak dilarang

Bagi tujuan pengesahan atau bagi memelihara akad hutang itu sendiri daripada berlaku kemungkiran di pihak yang berhutang, pemiutang boleh mengenakan syarat supaya akad hutang di antara penghutang dan pemiutang dibuat secara bertulis, mengadakan saksi, atau mensyaratkan penghutang mengadakan barang jaminan atau penjamin.

Keharusan pengenaan syarat bagi semua atau salah satu daripada perkara di atas merupakan sesuatu yang disyariatkan sebagaimana dijelaskan di dalam beberapa ayat al-Qur’an seperti berikut:

1. Firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu membuat urusan hutang-piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulisnya (mencatatkan hutang dan masa bayarannya).

“Dan hendaklah pencatat (hutang) antara kamu itu mencatatkannya dengan adil (untuk mengelakkan perselisihan).” (Surah al-Baqarah: 282)

2. Firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya:

“Dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi laki-laki daripada kalangan kamu.

“Sekiranya tidak ada dua orang saksi laki-laki maka bolehlah seorang laki-laki dan dua orang perempuan daripada orang-orang yang kamu setujui untuk menjadi saksi supaya jika yang seorang lupa daripada saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi” (Surah al-Baqarah: 282)

3. Firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya:

“Dan jika kamu sedang musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh) sedang kamu tidak mendapati pencatat maka hendaklah diadakan barang jaminan untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). (Surah al-Baqarah: 283)

Kesimpulan

Apa yang dapat disimpulkan dari penjelasan di atas, akad hutang disyariatkan bukan bertujuan untuk membuka ruang kepada pemiutang meraih atau membuat keuntungan daripada harta yang dipinjamkan atau dihutangkan kepada penghutang tetapi semata-mata demi membantu penghutang.

Apatah lagi jika penghutang itu merupakan seorang yang dalam kesusahan hidup dan memerlukan pinjaman bagi menampung keperluannya.

Memberi pinjam atau menghutangkan kepada orang lain bagi maksud untuk menjana atau mengaut sebarang keuntungan atau manfaat daripada penghutang adalah dilarang dan termasuk di dalam kategori aktiviti riba.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Penghormatan buat Jiang Zemin

BEIJING, 6 DIS – Siren kedengaran di seluruh China hari ini ketika Parti Komunis mengadakan perkabungan bekas pemimpin, Jiang Zemin, memberi penghormatan kepadanya sebagai...
- Advertisment -