Awasi anak kitani

BELAIT, 9 JULAI – Jabatan Penerangan telah meneruskan lagi usaha meningkatkan kesedaran ibu bapa dengan mengadakan Program Awasi Anak Kitani (AAK) yang dikendalikan oleh cawangan Penerangan Daerah Belait bagi Mukim Seria, hari ini.

Program yang diadakan dengan kerjasama Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) dan Syarikat IT Protective Security Services (ITPSS) Sdn Bhd itu telah diadakan di Dewan Jabatan Daerah Belait (Seria) dan dihadiri oleh kira-kira 50 orang peserta.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Penghulu Mukim Seria selaku Ketua Kampung Lorong Tiga Selatan, Seria, Haji Saidin bin Haji Ibrahim.Menurut kenyataan yang diberikan, program merupakan salah satu aktiviti tahunan Jabatan Penerangan yang dirancang untuk diadakan di mukim-mukim seluruh negara secara berterusan bagi memberi kefahaman kepada masyarakat melalui sesi taklimat dan pameran, terutamanya kepada para ibu bapa atau penjaga.

Ia bertujuan untuk menambah serta meningkatkan kesedaran ibu bapa tentang pencegahan dan mengawal anak masing-masing daripada penyalahgunaan dan perangkap dadah serta isu-isu yang berkaitan dengan keselamatan dalam negeri.

Program turut diisi dengan taklimat-taklimat oleh wakil dari BKN, JKDN dan ITPSS selain pameran aplikasi mudah alih Jabatan Penerangan, jualan buku terbitan Jabatan Penerangan dan pameran daripada BKN dan JKDN.

Ketua Jabatan Penerangan cawangan Daerah Belait, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahuddin ketika memberikan taklimat semasa program tersebut.
Tetamu kehormat ketika hadir pada majlis tersebut.