Saturday, April 26, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Awasi anak kitani daripada terjerumus perangkap dadah

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Jawatankuasa Program Awasi Anak Kitani dengan kerjasama Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), Pejabat Peguam Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Takmir Masjid Al-Muhtadee Billah Sungai Kebun telah menganjurkan Program Awasi Anak Kitani di Dewan Masjid Al-Muhtadee Billah Sungai Kebun, Kampung Sungai Kebun, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi program yang dihadiri seramai 200 orang penduduk dari Mukim Peramu, Mukim Saba dan Mukim Burong Pingai Ayer berkenaan ialah Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Hajah Noorashdiah binti Haji Aliomar.

    Program berkenaan diisikan dengan taklimat pertama dari BKN mengenai keburukan dadah yang mana gejala penyalahgunaannya dalam kalangan masyarakat negara kita semakin membimbangkan dan perlu ditangani dengan serius.

    Pelbagai usaha dilaksanakan bagi membanteras aktiviti yang boleh melemahkan negara ini apatah lagi jika yang melakukannya para belia yang seharusnya menjadi aset negara.

    Taklimat tersebut juga turut berkongsi maklumat dalam menghadapi anak-anak yang telah terjerumus dalam aktiviti yang tidak sihat ini.

    Manakala taklimat kedua bertajuk ‘Fungsi dan Peranan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri’ disampaikan oleh wakil dari jabatan berkenaan.

    Program ini diwujudkan bagi menambah dan meningkatkan lagi kesedaran ibu bapa tentang pencegahan dan mengawal anak masing-masing daripada penyalahgunaan dadah dan isu-isu keselamatan dalam negeri. Ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk mengawasi anak masing-masing agar tidak terjerumus dengan perangkap dadah dan isu-isu keselamatan dalam negeri.

    JKDN juga menyampaikan taklimat tentang tugas dan tanggungjawab jabatan berkenaan temasuk isu-isu keselamatan dalam negeri di bawah pantauannya.

    Taklimat ketiga bertajuk ‘Jenayah Siber’ dari Pejabat Peguam Negara disampaikan oleh Pegawai Undang-Undang, Ratno Eddy Sophian bin Haji Zaidi selaku wakil dari jabatan berkenaan.

    Sesi soal jawab juga diadakan selepas taklimat bagi menguatkan lagi kefahaman para jemputan yang menghadiri program tersebut.

    Para jemputan juga berpeluang untuk menyaksikan pameran yang disediakan oleh Jabatan Penerangan, BKN, JKDN, JPM dan Takmir Masjid Al-Muhtadee Billah Sungai Kebun.

    Jabatan Penerangan melalui Unit Hubu-ngan Masyarakat sebagai salah sebuah agensi kerajaan turut bertanggungjawab dalam memastikan anak-anak bangsa agar bergerak sihat dan cergas dalam membangunkan negara.

    Program ini juga diharap akan dapat membuka minda dan menambah pengetahuan ibu bapa serta para belia untuk menjauhi penggunaan dadah dan isu-isu keselamatan dalam negeri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda