Awasi anak kitani sebelum terlambat

Oleh Nurdiyanah R.

 

TUTONG, 13 Sept – Seramai 62 orang peserta telah menghadiri Program Awasi Anak Kitani anjuran Jabatan Penerangan, cawangan Daerah Tutong dengan kerjasama Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) dan Syarikat Information Technology Protective Security Services (ITPSS) Sdn Bhd, yang diadakan di Pusat Kemasyarakatan Kampung Birau, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penghulu Mukim Kiudang, Haji Abdul Rahim bin Abdullah Yakin, yang turut disertai oleh ahli majlis perundingan mukim dan kampung, pengawasan kejiranan, takmir masjid dan Muslimah serta penduduk Mukim Kiudang, pagi tadi,

Menurut Ketua Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Awang Hassanul Hidayat bin Haji Abu Bakar selaku pengerusi program, acara berkenaan merupakan salah satu program tahunan jabatan berkenaan, yang diadakan di seluruh mukim bagi menyampaikan maklumat dan pengetahuan kepada masyarakat terutamanya para ibu bapa dan penjaga mengenai isu-isu keselamatan dan pencegahan dadah serta tip dalam penggunaan teknologi maklumat (IT) melalui sesi taklimat dan pameran interaktif.

Haji Abdul Rahim bersama sebahagian peserta yang menghadiri Program Awasi Anak Kitani yang diadakan di Pusat Kemasyarakatan Kampung Birau, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto

Beliau menjelaskan ia adalah tanggungjawab jabatan dalam sama-sama membantu agensi-agensi kerajaan bagi membanteras gejala-gejala yang tidak sihat yang dipandang serius akan impaknya kepada negara dan masyarakat, malah menyeru kepada semua lapisan masyarakat agar sentiasa bersikap positif dalam menanai tanggungjawab mencegah segala unsur negatif dengan tidak hanya mengharapkan pihak berkuasa semata-mata.

Program berkenaan didahului dengan taklimat dari JKDN mengenai peranan dan tanggungjawab jabatan termasuk isu-isu keselamatan dalam negeri di bawah pantauannya. Manakala taklimat kedua pula ialah mengenai tip pengguna bijak dalam penggunaan teknologi termasuk panduan ibu bapa dalam mengawasi penggunaan IT dalam kalangan anak-anak yang disampaikan oleh pegawai dari Syarikat ITPSS Sdn Bhd.

Taklimat seterusnya disampaikan oleh Cawangan Pendidikan Pencegahan Dadah, BKN, yang antara lain mengongsikan mengenai latar belakang BKN, keburukan gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat dan perkhidmatannya kepada orang ramai.