SELAIN makanan yang dikisar halus ada ketikanya anak damit anda juga ingin mencuba makanan lain yang dimakan oleh orang dewasa.
Tidak salah untuk memberi si kecil anda mencuba asalkan ia sesuai dengan mereka dan tidak menyebabkan mereka berasa tercekik atau tersedak.
Apa yang membimbangkan kes tersedak boleh sahaja terjadi kepada sesiapa sahaja akibat daripada mengambil makanan yang sedikit pun tidak kelihatan bahaya.
Bagi menghindari risiko tersebut, anda seharusnya memilih dan memberi makanan yang sesuai dengan usia anak.
Ternyata makanan yang disajikan dalam ukuran yang salah boleh menjadi penyebab anak tersedak pada usia mereka sekitar 12 hingga 24 bulan.

Contohnya potongan makanan yang berukuran lebih besar daripada sebutir kacang boleh menyebabkan rongga tekak anak anda tersumbat.
Jadi penting untuk tidak memberi si kecil makan ketika anda tidak mengawasi mereka.
Pastikan anda memotong, menghiris atau menyiat makanan-makanan seperti lobak merah, batang saderi dan kacang buncis.
Di samping itu, adalah lebih baik untuk memotong makanan seperti anggur, ceri, tomato jadi empat bahagian dan pastikan juga untuk membuang bijinya sebelum disajikan.
Hiris halus, siat atau potong daging dan keju menjadi bentuk yang lebih kecil agar anak-anak kecil tidak akan tercekik ketika cuba untuk mengunyahnya.
Untuk menghindari anak tersedak, anda hanya perlu mempersiapkan bahan makanan dengan baik. Ada beberapa makanan jika tidak diolah dengan baik boleh menyebabkan anak tersedak.
Walau bagaimanapun anda masih boleh menawarkan kepada si kecil dengan pelbagai makanan supaya mereka tahu rasa setiap makanan yang bakal dihidangkan.
Apa yang perlu anda ingat adalah untuk memotong buah dan sayuran menjadi ukuran kecil, kira-kira lebih kecil daripada duit syiling.
Buah seperti anggur dan ceri dipotong empat, kacang dibahagi kepada dua bahagian dan jika ukurannya besar boleh dipotong lebih kecil lagi.
Sementara sosej ataupun sayuran mentah pula wajar untuk dipotong panjang, sosej ataupun sayuran mentah dipotong panjang, mentega kacang pula dioles nipis atas roti.
Sebaiknya jangan perkenalkan jagung bertih dan gula-gula seperti lolipop sehingga usia anak mencapai empat tahun.
Sebagai ibu anda perlu memastikan anak-anak makan dengan selamat dan mendapat khasiat yang secukupnya untuk tumbesaran mereka.
Langkah pencegahan yang boleh anda ambil untuk mengelak daripada kejadian tersedak adalah dengan memerhatikan anak-anak setiap kali mereka makan.
Amalan makan sambil duduk adalah lebih baik daripada makan ketika berdiri atau berjalan.
Jika perlu anda juga boleh mempelajari teknik CPR (bantuan pernafasan dari mulut ke mulut) untuk digunakan jika berlaku kecemasan seperti keadaan ketika anak anda tersedak.
Tahap kecemasan
Antara tanda kanak-kanak sedang tercekik dan perlu bantuan dengan serta-merta adalah apabila dia tidak boleh bercakap dan menangis, muka menjadi biru, memegang tekak dan meminta bantuan, kelihatan panik dan tidak sedarkan diri.
Dalam situasi ini, anda boleh melakukan satu rutin yang mungkin boleh menyelamatkan keadaan iaitu dengan menekan perut, juga dikenali sebagai Manuver Heimlich.
Ia adalah prosedur biasa untuk menyelamatkan diri jika anda sudah dilatih. – Agensi