Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Awasi keselamatan anak-anak

    Baru-baru ini negara kita dikejutkan dengan kes penculikan remaja yang melibatkan warganegara asing.

    Perkara ini sebenarnya sudah pernah berlaku sebelum ini, namun ia semakin giat sejak akhir-akhir ini.

    Bagaimanapun, tujuan mereka melakukan penculikan ini belumlah diketahui secara mendalam, adakah semata-mata untuk mendapatkan pampasan daripada ibu bapa atau penjaga mangsa atau kebanyakan spekulasi orang awam mengatakan untuk melepaskan nafsu mereka.

    Namun, apa yang penting adalah tanggungjawab kita sebagai ibu bapa atau penjaga mengawasi dan memberi perhatian kepada anak-anak.

    Sebagai contoh, ketika menghantar anak-anak ke sekolah lebih awal daripada kebiasaan, ibu bapa perlu memastikan mereka sudah selamat berada di kawasan sekolah dan dalam pengawasan guru-guru serta warga sekolah.

    Penulis mengesyorkan pemasangan kamera litar tertutup untuk mengawasi perilaku anak-anak awda dari jauh.

    Ini kerana saya turut terbaca satu perkongsian di laman media sosial Facebook, di mana ibu bapa menjelaskan anak mereka nyaris diculik oleh seorang warga asing di kawasan sekolah.

    Menurut keluarga itu, warga asing itu seperti sudah lama mematai-matai anak beliau dan mujurlah anak beliau sudah berada di kawasan sekolah. Jelasnya lagi, setelah gagal, warga asing itu berpura-pura menjadi pekerja pembuangan sampah setelah melihat keberadaan ibu bapa pelajar itu.

    Jelas di sini, sesetengah warga asing di negara ini sudah berani melakukan jenayah, seolah-olah tidak takut hukuman yang akan dijatuhkan ke atas mereka.

    Pengawasan anak-anak ini tidak hanya terhad ketika berada di sekolah sahaja kerana waktu cuti persekolahan akan bermula tidak lama lagi, justeru sesetengah ibu bapa ada yang berani meninggalkan anak-anak mereka bersendirian tanpa pengawasan orang yang lebih tua di rumah.

    Apa yang perlu dilakukan, nasihati anak-anak awda untuk tidak berinteraksi dengan orang tidak dikenali dan memasang kamera litar tertutup untuk mengawasi anak-anak awda dari jauh.

    Jika anak-anak awda ingin berjalan keluar bersama rakan-rakan, sebaiknya jangan terlalu digalakkan dan mestilah ada penjaga mereka sepanjang berada di luar rumah.

    Memang ia agak tegas dan mungkin dianggap mengongkong namun keselamatan mereka adalah keutamaan kita.

    Selain itu, salah satu juga cara untuk memastikan keselamatan anak-anak kita terjamin adalah dengan mendedahkan mereka kepada seni mempertahankan diri. Berbekalkan ilmu mempertahankan diri ini, mereka boleh mempraktikkannya sekiranya mereka berasa terancam dan dalam situasi bahaya.

    Pelbagai cara sebenarnya boleh dilakukan demi keselamatan anak-anak ini, apa yang penting pengawasan yang betul daripada ibu bapa atau penjaga dan juga peranan masyarakat untuk tidak camah mata menghulurkan bantuan bagi menghalang perkara yang tidak diingini berlaku.

    Rosnah

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...