Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Aweera janji takkan menghilang lagi

    Tiada sekelumit perasaan kecewa dalam diri penyanyi Aweera walaupun hanya mampu menduduki tempat keenam pada pentas akhir program realiti, Gegar Vaganza musim kelapan (GV8).

    Walaupun ada yang beranggapan bekas vokalis kumpulan Mojo itu layak bergelar juara, namun, Aweera lebih selesa bersikap realistik kerana adat pertandingan, ada kalah dan menang.

    Malah, Aweera atau nama sebenarnya, Nasharul Aweera Norhissham berkata, dia tidak malu mengakui kesilapan yang dilakukan menjadi punca persembahan mendapat markah rendah.

    “Sejujurnya, saya sendiri berasakan persembahan saya agak goyah. Saya ada melakukan kesilapan dalam nyanyian dan perkara ini sangat ketara.

    “Bukan mahu mencari alasan untuk mempertahankan diri, namun, hakikatnya keadaan kesihatan saya agak terganggu pada malam akhir ini. Tekak saya mengalami masalah.

    Aweera kini memasang strategi untuk memastikan kehadirannya mampu membuahkan hasil. – Agensi

    “Saya ada berjumpa doktor berikutan enggan menanggung sebarang risiko. Jadi, keadaan kesihatan yang dialami secara tidak langsung menjejaskan mutu nyanyian,” katanya kepada media.

    Meskipun begitu, penyanyi yang berasal dari Kangar, Perlis itu tidak mahu mengalah dan cuba memberikan persembahan terbaik.

    “Tidak mengapa, saya terima keputusan dengan berlapang dada. Ini kerana saya berjaya melangkah ke peringkat final sudah satu rahmat yang cukup besar.

    “Lebih menggembirakan apabila saya dapat berkongsi pentas dengan penyanyi hebat, Liza Hanim untuk segmen duet. Bukan mudah memperoleh peluang ini dan menjadi kenangan terindah buat saya,” luah penyanyi berusia 30 tahun ini.

    Berkongsi pengalaman sepanjang 10 minggu berada dalam program realiti itu, Aweera berkata, dia menimba banyak ilmu dan pengalaman berharga yang boleh membantu mempersiapkan diri untuk menjadi penghibur disegani.

    “Paling seronok dapat bersama peserta GV8, hubungan kami sudah seperti satu keluarga. Walaupun di luar peminat saling bertelagah dalam media sosial, namun, ia tidak menjejaskan persahabatan kami.

    “Jika ada antara kami ditimpa masalah, ramai akan mengambil berat. Selain itu, banyak juga input baharu yang saya dapat pelajari khususnya daripada juri.

    “Saya memasuki bidang nyanyian tanpa sebarang latihan profesional dan tentunya ilmu amat diperlukan.

    “Walaupun pernah mengikuti kelas vokal ketika menyertai program realiti, One In A Million, tetapi itu sudah terlalu lama. Apabila menyertai GV8 dan kembali belajar vokal, secara tidak langsung dapat juga mengembalikan ingatan terhadap ilmu yang pernah dipelajari,” katanya.

    Menyorot semula perjalanan kerjaya, penyanyi yang popular menerusi lagu Andai Ku Bercinta Lagi dan Romancinta ini tidak menafikan laluan diberikan cukup indah.

    “Kerjaya saya diatur dengan cantik sekali oleh Allah. Ketika berhasrat untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian selepas hilang dari radar, tawaran menyertai GV8 diberikan.

    “Saya terus terima tanpa berfikir panjang. Ini juga sebagai menjawab pertanyaan peminat apakah saya sebenarnya merajuk hingga agak lama menyepikan diri.

    “Sebelum ini, saya seakan tenggelam timbul disebabkan pandemik. Jadi, saya banyak menghabiskan masa di kampung di Perlis,” katanya.

    Enggan menoleh ke belakang dan mahu membina fasa baharu dalam kerjaya nyanyian, Aweera kini memasang strategi untuk memastikan kehadirannya mampu membuahkan hasil. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...