Aweera muak dengan persepsi buruk

Suka bertukar kumpulan menjadi persepsi buruk yang dilemparkan kepada penyanyi, Aweera, 29, sejak dahulu lagi.

Meskipun sudah tiga tahun bersama kumpulan Pelita Lusoh, Aweera tetap dikaitkan dengan masalah disiplin. Namun, pemilik nama Nasharul Aweera Noriyissham itu sudah lali dengan persepsi negatif.

“Saya lali dengan tohmahan orang. Apabila keluar dengan benda baik, tiada pula orang nak ambil tahu. Apabila benda tak baik, cepat sahaja bertebaran cerita kurang enak. Tak mengapa, itu mereka punya hal.

“Saya tak mahu menoleh ke belakang. Jika memandang ke belakang, saya akan mengalami depresi. Saya tak menafikan, mengalami sedikit depresi apabila dihentam.

“Contohnya, apabila saya bersama Pelita Lusoh. Ketika saya muncul dengan karya baharu, ada sahaja yang bercakap mengenai perangai saya, seolah-olah mendoakan perkara tidak baik. Sebagai orang Islam bukankah lebih baik kita mendoakan kebaikan, bukannya menjatuhkan orang lain,” katanya kepada media.

Aweera (tengah) sudah tiga tahun bersama kumpulan Pelita Lusoh. – Agensi

Disebabkan itu, Aweera berkata, dia lebih selesa tidak menghiraukan komen negatif dan cuba memperbaiki diri untuk memperbetulkan tanggapan orang sekeliling terhadapnya.

“Rakan yang kenal tahu saya bagaimana. Seperti masalah sebelum ini, takkan saya nak bercakap soal pengurusan. Jika saya bercakap, orang tidak akan faham.

“Saya bersama Mojo dan Prime Domestic, semuanya berkaitan masalah pengurusan. Jadi, ia agak sulit untuk dikongsi. Jika saya bercakap, ia akan mengaibkan pihak tertentu. Saya pula tak mahu berbuat demikian kerana saya bekerja dengan artis legenda.

“Saya hormat mereka sebagai artis legenda, jadi biarlah kami sahaja yang tahu cerita yang berlaku. Biarlah warganet hanya tahu mengenai karya kami sahaja,” katanya.

Sebelum bersama Pelita Lusoh, Aweera pernah menjadi vokalis kepada dua kumpulan muzik iaitu Mojo dan Prime Domestic, tetapi hanya bertahan seketika.

Bersama kumpulan Pelita Lusoh, mereka muncul dengan single baharu berjudul Kembara Nabawi dan satu lagi lagu, Lara pada September depan.

Sementara itu, tidak lokek berkongsi kisah peribadinya, Aweera berkata, dia masih mencari calon isteri selepas empat tahun hidup solo. – Agensi