Saturday, September 23, 2023
23.7 C
Brunei

    -

    Axelsen rangkul juara Terbuka China

    BEIJING, 11 SEPT – Jaguh badminton, Viktor Axelsen merangkul kejuaraan Terbuka China pertamanya kelmarin sementara An Seyoung merangkul kejuaraan wanita.

    Pemain nombor satu dunia Axelsen, berjaya mengatasi lonjakan permainan kedua oleh finalis tempatan, Lu Guangzu untuk menang 21-16, 21-19 dalam masa 49 minit.

    Selepas menang mudah melalui set pertama, pemain Denmark itu ketinggalan 18-12 pada set kedua sebelum bangkit merampas sembilan daripada 10 mata terakhir untuk memenangi perlawanan itu.

    “Rasanya sangat menakjubkan, sejujurnya,” kata Axelsen di kejohanan tersebut di bandar Changzhou, timur China.

    “Sejujurnya, perkara yang paling penting ialah bagaimana saya bangkit selepas Kejohanan Dunia.”

    Aksi Viktor Axelsen semasa perlawanan akhir perseorangan lelaki pada kejohanan Badminton Terbuka China di Changzhou, wilayah Jiangsu timur China pada 10 September. – AFP

    Pada kejohanan itu di Copenhagen bulan lalu, Axelsen tewas mengejut pada suku akhir kepada pemain dari India, H S Prannoy.

    “Saya telah membuktikan kepada diri sendiri bahawa jika saya cuba melakukan yang terbaik setiap hari dan jika saya cuba bangkit selepas beberapa kekalahan, saya boleh menjadi lebih baik,” kata Axelsen.

    Ia merupakan hari untuk pemain-pemain ranking teratas apabila pemain Korea Selatan, An menumpaskan Akane Yamaguchi dari Jepun 21-10, 21-19.

    An, yang mengukuhkan kedudukan sebagai pemain nombor satu dunia dengan kemenangan di Terbuka Jepun pada Julai, juga menang mudah pada set pembukaan tetapi ketinggalan pada set kedua.

    Tetapi dia secara beransur-ansur mengejar pemain terbaik yang berada di ranking kedua, Yamaguchi sebelum mencatatkan tiga mata terakhir untuk melakar kemenangan dalam masa 38 minit.

    “Memang saya sudah banyak kali bermain dengan Akane, jadi kami boleh menjangka pukulan antara satu sama lain. Jadi kami perlu bersedia dengan baik untuk perlawanan itu,” kata An. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...