Saturday, August 13, 2022
24 C
Brunei

Axiata catat untung bersih

-

KUALA LUMPUR, 26 NOV – Axiata Group Bhd mencatatkan untung bersih yang sedikit rendah kepada RM349.56 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2021 (S3 TK2021) daripada RM352.99 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Hasil, bagaimanapun, meningkat 7.1 peratus kepada RM6.54 bilion daripada RM6.11 bilion, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 0.7 peratus kepada RM2.86 bilion, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Axiata berkata hasil operasi di Malaysia meningkat sebanyak 1.2 peratus kepada RM1.6 bilion, terutamanya dipacu oleh pertumbuhan dalam perniagaan mudah alih, manakala bagi Indonesia, hasil meningkat sebanyak 6.3 peratus kepada RM2 bilion disebabkan pertumbuhan dalam perniagaan mudah alih dan jalur lebar.

Operasi syarikat telekomunikasi itu di Bangladesh menyaksikan hasil berkembang 7.0 peratus kepada RM1 bilion berikut pertumbuhan dalam perniagaan prabayar manakala hasil di Sri Lanka meningkat 11.8 peratus kepada RM772.1 juta di tengah-tengah pertumbuhan merentas segmen hasil teras.

Hasil untuk operasinya di Nepal meningkat 2.6 peratus kepada RM356.2 juta, terutamanya didorong oleh hasil data yang lebih tinggi, manakala perolehan di Kemboja adalah 11.4 peratus lebih tinggi kepada RM372.0 juta, disebabkan oleh pertumbuhan dalam perniagaan prabayar.

Syarikat itu berkata hasil infrastruktur meningkat 5.3 peratus kepada RM493.8 juta.

Berdasarkan prestasi setakat ini, kumpulan itu berkata ia yakin dapat mengatasi petunjuk prestasi utama (KPI) kepada pertumbuhan pertengahan satu angka dalam hasil dan EBITDA bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.- Bernama

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Dua beradik bersatu semula selepas 75 tahun

BHATINDA, INDIA, 12 OGOS – Air mata kegembiraan membasahi pipi seorang pekerja buruh India yang akhirnya bertemu abang tersayang dari Pakistan buat pertama kalinya...
- Advertisment -