KUALA LUMPUR, 6 Mei – Axiata Group Bhd dan Telenor AS akan mewujudkan juara global baharu susulan perbincangan untuk menggabungkan operasi Asia mereka di bawah entiti global yang digabungkan (MergedCo). Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Axiata berkata kedua-dua pihak akan berusaha untuk memuktamadkan perjanjian dalam tempoh suku ketiga 2019, yang bakal menyaksikan Telenor menjadi pemegang saham majoriti MergedCo global dengan jangkaan 56.5 peratus pemilikan manakala 43.5 peratus oleh Axiata.
“Pihak-pihak yang terlibat menyatakan bahawa belum ada kepastian transaksi yang dicadangkan itu akan menjurus kepada perjanjian atau obligasi yang mengikat pihak-pihak untuk meneruskan pengambilalihan, penggabungan dan penjualan,” katanya.
Axiata berkata menerusi cadangan itu, kedua-dua pihak telah menetapkan hasrat untuk menyenaraikan MergedCo di Bursa Malaysia, dan satu lagi bursa antarabangsa utama dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Selaku juara dunia, MergedCo kini meliputi Malaysian Champion, Global TowerCo dan pusat inovasi terbesar di rantau ini, kesemuanya beribu pejabat di Malaysia,” katanya. MergedCo akan mengawal operasi anak-anak syarikat di sembilan negara dengan gabungan penduduk lebih satu juta dan 300 juta pelanggan.
Secara keseluruhannya, ia bertujuan mengawal kedudukan utamanya di enam negara, kedudukan kedua di kedua-dua negara dan kedudukan ketiga dalam satu pasaran.
Bagaimanapun, unit Bangladesh, Robi Axiata Ltd, akan terus diuruskan secara bebas oleh Axiata setelah proses itu selesai. MergedCo berpotensi untuk menyumbang hasil lebih daripada RM50 bilion dan pendapatan sebelum faedah, cukai, pelunasan dan susut nilai (EBITDA) melebihi RM20 biliion, katanya.
Berdasarkan portfolionya yang unik, MergedCo akan menjadi antara kumpulan komunikasi terbesar di rantau ASEAN dan Asia Selatan dari segi nilai, hasil dan keuntungan dengan lembaran imbangan yang kukuh untuk menyokong pertumbuhan dan perkembangan agresif pengguna, rumah, perusahaan dan Internet. – Bernama