Ayah pencetus minat, inspirasi kejayaan

Oleh Sim Y. H.

Legasi mendiang ayahnya, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan China Kornia Diraja Dato Paduka Lau Ah Kok yang amat meminati bidang pertanian dan perladangan telah diwarisi anaknya yang kini Pengurus Ladang Hua Ho Agriculture Farm Sdn Bhd, Lau How Teck, sekali gus membakar semangatnya untuk menjadikannya ia ladang terkenal di negara ini.

Mengusahakan ladang sayur-sayuran, buah-buahan dan ternakan ayam bersama mendiang ayahnya, minat itu terus tersemat dalam jiwanya dan melalui pengalaman diraih bersama mendiang, beliau kini berbangga dengan hasil ladang besar yang dimiliki syarikat itu.

Menerusi ladang mereka di Labi, mereka mula menanam limau bali atau gedang, jambu batu dan juga buah belimbing serta perlahan-lahan hasil tanaman buah-buahan serta juga sayur-sayuran yang dikeluarkan oleh ladangnya di Junjongan, mendapat tempat di kalangan pembeli tempatan.

Selain daripada tanaman buah-buahan seperti jambu batu yang merupakan buah kegemaran Lau How Teck, ladang yang diusahakannya turut berkembang untuk meliputi ternakan ayam bagi penghasilan telur dan juga disembelih untuk dijual di pasar raya-pasar raya tempatan.

Tidak dinafikan bahawa tugas sebagai seorang pengusaha ladang merupakan satu tugas yang mencabar dan banyak cabaran yang perlu dilalui sebelum meraih kejayaan tetapi bagi Lau How Teck, pengajaran yang paling penting baginya adalah daripada mendiang ayahnya di mana ia mengajarnya erti sebenar kerja keras dan menikmati kejayaan hasil daripada titik-peluh sendiri, ulasnya lagi dalam temu bual bersama Media Permata di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Sibongkok, Kampung Masin, baru-baru ini.

Mendiang ayah Lau How Teck banyak memberikannya kepercayaan untuk meneruskan minatnya dalam bidang pertanian.
Lau How Teck (tengah) menerangkan mengenai ladangnya kepada salah seorang pegawai dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, baru-baru ini.
Pelbagai tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran yang terdapat di ladang baharu yang terletak di KPP Sibongkok, Kampung Masin.

Menurutnya, mereka kini mempunyai tiga buah ladang iaitu di Labi, Junjongan dan yang terbaharu di KKP Sibongkok di mana baginya kejayaan ladang itu, semuanya hasil daripada visi dan usaha mendiang ayahnya yang tidak pernah berputus asa mengusahakan ladang berkenaan serta menjadi tugasan utamanya sehingga kesihatannya kurang mengizinkan.

“Ayah merupakan inspirasi bagi semua kejayaan ini dan kami berdiri di belakangnya menyokongnya,” tambahnya. “Minat saya dalam mengusahakan ladang lahir daripada mendiang ayah yang memberikan tugasan kepada saya untuk menjaga ladang sejak usia muda lagi.”

Setelah keadaan kesihatan ayahnya kurang mengizinkan, Lau How Teck diamanahkan untuk menjaga, mengurus dan mengusahakan ladang-ladang berkenaan sehingga ladang berkenaan meraih kejayaan serta berkembang sebagai sebuah ladang yang terkemuka di negara ini.

Mengimbas seketika perkembangan ladang-ladang yang diusahakan, beliau akui pada awal penubuhan ladang berkenaan bersama mendiang ayahnya, ia merupakan tugasan yang menjerihkan tetapi kini dengan penggunaan mesin dan kaedah pertanian moden, ia banyak membantu bukan sahaja memudahkan pengurusan harian ladang, ia juga menjadikan operasinya lebih efisien serta meningkatkan kapasiti pengeluaran ladang Hua Ho.

Beliau menerangkan bahawa menguruskan ladang berkenaan, bukan saja memerlukan pengetahuan mengenai operasi harian ladang itu tetapi juga teknik serta kaedah penanaman yang terbaik bagi tanaman yang dihasilkan.

Beliau turut menyatakan bahawa banyak ilmu pengetahuan yang diperoleh dalam kaedah penanaman dan pertanian diperoleh menerusi pergaulan dengan pengusaha-pengusaha ladang dalam dan luar negara.

“Untuk menjadi seorang peladang yang berjaya, kita tidak harus merasa malu atau segan untuk bertanya. Kita sebagai seorang peladang mungkin tidak akan tahu segala-galanya tetapi kita mesti bersedia untuk mendengar penerangan daripada pengusaha lain dan untuk menggunakan ilmu yang diperoleh bagi memperbaiki lagi amalan pertanian kita.”

Menyentuh mengenai generasi peladang pelapis muda, beliau berharap lebih ramai golongan muda akan menceburi bidang pertanian. Beliau akui bahawa bidang berkenaan merupakan satu bidang yang mencabar tetapi hasilnya amat berbaloi dan percaya bahawa terdapat banyak peluang bagi golongan muda dalam bidang itu tetapi ia memerlukan mereka untuk bersikap cekal serta terbuka untuk menimba ilmu pengetahuan dan belajar daripada pengusaha lain untuk memastikan ladang mereka mengamalkan amalan terbaik pertanian.