Ayam goreng ala Korea ‘kecil, tetapi sedap’

Ayam goreng ala Korea telah mencipta nama dalam dunia makanan global dengan teksturnya yang segar dan pelbagai sos perasa.

Di tempat asalnya, hidangan ini menjadi topik perdebatan di kalangan penggemar makanan tempatan selepas pengkritik makanan terkenal Hwang Kyo-ik mengkritik tukang masak yang membuat hidangan itu kerana menggunakan ayam kecil dan terlalu bergantung pada sos.

“Ayam goreng Korea tidak sedap sebab ayamnya kecil. Hidangan yang dijual di restoran tempatan menggunakan daging ayam seberat kira-kira 1.5 kilogram. Ia dinikmati bukan untuk rasa daging itu sendiri, tetapi untuk rasa sosnya,” katanya dalam catatan Facebook pada akhir November.

Untuk mengetahui pendapat pakar makanan global tentang hidangan kegemaran negara itu, The Korea Herald bercakap dengan cef dari Australia, Itali dan Mexico yang terkenal dengan minat mereka terhadap masakan Korea.

Joseph Lidgerwood, pemilik dan ketua cef restoran Evett, yang menerima satu bintang Michelin pada 2019 selepas hanya setahun berniaga, berkata ayam goreng ala Korea memang hebat.

Ayam goreng ala Korea telah mencipta nama dalam dunia makanan global dengan teksturnya yang segar dan pelbagai sos perasa. – Agensi

“Saya rasa saiz ayam goreng ala Korea sekarang cukup sempurna, sejujurnya, terutamanya apabila awda mempunyai lebih daripada satu perisa.

“Selain itu, ia memberi awda peluang untuk merasa pelbagai gaya,” katanya.

Beliau berkata pelbagai perisa yang ditambahkan pada ayam goreng ala Korea membezakannya daripada variasi di Amerika Syarikat.

Fabrizio Ferrari, seorang lagi cef bintang Michelin dari Itali berkata, “Sebagai chef yang sangat mementingkan kualiti produk yang digunakan untuk mencipta hidangan lazat dan cantik, saya katakan ayam goreng Korea bersaiz lebih kecil tetapi jauh lebih sedap dan menyeronokkan untuk dimakan. Berbanding mana-mana yang pernah saya cuba di seluruh dunia, yang merupakan titik utama kejayaan ayam goreng Korea.”

Ferrari ialah pemilik restoran Michelin satu bintang Al Porticciolo 84 di Milan, Itali, dan muncul di Korean Food Battle, sebuah rancangan televisyen yang disiarkan pada 2018 di saluran makanan tempatan Olive TV, di mana pakar makanan tradisional Korea bergandingan dengan cef asing terkenal untuk membuat masakan asli Korea dan bersaing antara satu sama lain.

Beliau berkata pelbagai jenis sos yang digunakan untuk perasa menjadikan ayam goreng Korea menjadi ciri khas Korea dan lazat.

“Francais ayam besar di Korea sepatutnya mengeksport produk mereka ke negara luar dengan sos dan lauk asli. Ini akan membantu menyebarkan budaya makanan Korea ke seluruh dunia.” – ANN/The Korea Herald