Monday, February 17, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ayam jadi teman belayar keliling dunia

    MATA Guirec Soudee tertancap pada pemandangan lautan biru yang terbentang luas. Menikmati panorama matahari terbenam di Laut Caribbean memberi pengalaman baharu kepadanya sejak memulakan pelayaran kira-kira tiga tahun lepas.

    Pengalaman itu ternyata lebih bermakna apabila dapat dikongsi bersama insan tersayang. Bagaimanapun, dalam situasi Soudee, dia ditemani seekor ayam betina yang dinamakan Monique.

    “Seperti saya, Monique juga tidak takut terhadap apa-apa. Ia sukakan cabaran dan gemar melawat kapal-kapal layar lain yang berada berhampiran kami,” katanya seperti dipetik portal The Daily News.

    Sejak memulakan pelayaran dari Kepulauan Canary, Sepanyol pada Mei 2014, lelaki berusia 24 tahun dari Brittany, Perancis dan haiwan peliharaannya itu telah sampai ke beberapa destinasi termasuk St. Bart di Kepulauan Caribbean, Alaska dan Greenland.

    Dengan membawa ayam itu bersamanya, Soudee secara tidak langsung memperoleh bekalan makanan menerusi telur yang dihasilkan Monique sepanjang perjalanannya. Secara purata, ayam betina tersebut menghasilkan kira-kira enam biji telur seminggu walaupun berada di Greenland yang suhunya begitu sejuk.

    Dengan membawa ayam itu bersamanya, Soudee secara tidak langsung memperoleh bekalan makanan menerusi telur yang dihasilkan Monique sepanjang perjalanannya.
    Dengan membawa ayam itu bersamanya, Soudee secara tidak langsung memperoleh bekalan makanan menerusi telur yang dihasilkan Monique sepanjang perjalanannya.
    Selain itu, kata Soudee, dia dan ayam kesayangannya itu turut berkongsi makanan yang sama seperti nasi, pasta serta ikan segar.
    Selain itu, kata Soudee, dia dan ayam kesayangannya itu turut berkongsi makanan yang sama seperti nasi, pasta serta ikan segar.

    “Keadaan cuaca yang dingin sedikit pun tidak mengganggu Monique. Ia bertelur seperti biasa. Dalam tempoh 130 hari pelayaran kami, ia menghasilkan lebih 106 biji telur. Monique bukan sahaja mampu bertelur dalam cuaca sejuk tetapi ia boleh berenang di Laut Artik yang suhunya ketika itu hanya 2 darjah Celsius (°C),” cerita Soudee.

    Bertelur

    Bagi memastikan ayam peliharaannya itu dapat bertelur dengan selesa, Soudee menyediakan reban khas untuk Monique di dalam kapal layarnya. Di dalam kapal yang sepanjang 11.9 meter itu juga, Soudee turut menyediakan dek di dalam kabin khusus buat Monique berlindung daripada cuaca buruk seperti ribut dan taufan.

    “Pada musim sejuk lalu, pelayaran kami tergendala gara-gara tersekat di laut yang membeku. Ada masanya ribut kuat serta angin kencang melanda hingga saya hampir kehilangan bot ini beberapa kali,” katanya.

    Menurut Soudee, dia terjumpa Monique di Kepulauan Canary ketika haiwan itu baru berusia empat ke lima bulan. “Sebelum itu, saya terfikir untuk membawa kucing tetapi jika saya berbuat demikian, terlalu banyak yang perlu diuruskan.

    “Dengan Monique, ia ibarat cinta pandang pertama. Melihat hubungan kami sekarang, ia dirasakan begitu hebat. Kami berkongsi segala-galanya. Ia suka apabila berada di sisi saya dan ia juga penuh dengan sifat ingin tahu,” kata Soudee kepada NY Daily News.

    Ayam yang diberikan nama sebagai Monique itu bukan sahaja mampu bertelur dalam cuaca sejuk tetapi ia boleh berenang di Laut.
    Ayam yang diberikan nama sebagai Monique itu bukan sahaja mampu bertelur dalam cuaca sejuk tetapi ia boleh berenang di Laut.

    Ikan ‘terbang’

    Soudee memberitahu, Monique suka dirinya dipeluk bahkan mereka kadang-kadang akan tidur berkongsi tilam serta bantal yang sama. “Ia tidak pernah marah-marah atau memiliki mood tidak baik seperti sesetengah wanita,” seloroh Soudee.

    Selain itu, kata Soudee, dia dan ayam kesayangannya itu turut berkongsi makanan yang sama seperti nasi, pasta serta ikan segar. “Monique gemar menangkap ikan yang ‘terbang’ masuk ke dalam bot dengan paruhnya. Ada masanya, ia juga suka mencuri makanan daripada pinggan saya,” katanya.

    Seperti menjaga haiwan peliharaan lain, Soudee tidak terkecuali daripada berhadapan masalah sementelah Monique suka membuang najis merata-rata. Meskipun demikian, dia tidak pernah berasa kesal sebaliknya menganggap kehadiran Monique sebagai teman yang menghiburkan.

    “Saya juga perlu peka dengan peraturan kuarantin haiwan yang berbeza bagi setiap negara. Setakat ini, mereka tidak berhadapan dengan sebarang masalah kecuali disoal siasat pihak kastam ketika tiba di Kanada,” ujarnya.

    Pengembaraan mereka yang dikongsi menerusi laman Facebook dan Instagram turut mendapat perhatian ramai selepas mendapat lebih 1.3 juta tontonan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda