Berkongsi detik menyambut kelahiran anak pertama, penyanyi Ayie dari kumpulan Floor88 terharu dan menitiskan air mata melihat isterinya, Tasha Awie yang terpaksa bertarung nyawa selama lebih satu jam untuk cuba bersalin secara normal.
Bagaimanapun disebabkan terlalu lama dan Tasha sudah kehilangan tenaga, doktor menasihatkan untuk menjalani pembedahan dan mereka selamat bergelar ibu bapa kepada seorang anak perempuan yang lahir pada pukul 3:18 petang di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
“Saya bawa isteri ke hospital pada awal pagi Jumaat selepas dia mula mengadu sakit hendak bersalin. Dia kemudian dimasukkan ke bilik bersalin sekitar pukul 1 petang dan melalui proses meneran selama lebih satu jam kerana mahu bersalin normal.
“Apabila isteri semakin lemah disebabkan hilang banyak tenaga, doktor nasihatkan untuk jalani pembedahan. Saya hanya serahkan kepada doktor untuk melakukan yang terbaik dan paling penting isteri dan anak selamat.
“Melihat isteri dalam keadaan begitu memang membuatkan saya berasa sedih sehingga saya sendiri menangis.
“Pada mulanya saya dibenarkan masuk ke dewan bedah, namun ada sedikit masalah untuk keluarkan anak, jadi saya diminta keluar. Lebih kurang dua minit tunggu di luar saya dengar tangisan anak damit.
“Perasaan ketika itu sangat sukar digambarkan kerana akhirnya isteri selamat bersalin dan saya kini bergelar seorang bapa,” katanya ketika dihubungi media. – Agensi