AZ, CoronaVac dilulus sebagai penggalak

KUALA LUMPUR, 17 NOV – Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) hari ini bersetuju memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin AstraZeneca (AZ) dan CoronaVac sebagai dos penggalak COVID-19 kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas yang telah menerima vaksin siri primer daripada jenis yang sama (homologous).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata dos penggalak bagi vaksin AstraZeneca akan diberikan selepas sela masa enam bulan daripada penerimaan dos kedua vaksin tersebut.

Bagi vaksin CoronaVac, dos penggalak akan diberikan selepas tiga hingga enam bulan daripada dos kedua diterima.

“Pemberian dos penggalak bagi kedua-dua produk vaksin ini kepada kumpulan sasar tertentu akan diperincikan oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Penggalak (CITF-B) dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham dalam mesyuarat sama itu turut memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi vaksin ‘AstraZeneca Solution for Injection’ bagi pengilang ketiga iaitu SK Bioscience Co. Ltd Korea Selatan di mana pemegang pendaftaran bagi vaksin ini adalah AstraZeneca Sdn Bhd.

Beliau berkata PBKD sebelum ini telah memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi pengilang pertama iaitu AstraZeneca Nijmegen B.V. Netherlands manakala pengilang kedua adalah Siam Bioscience, Thailand.

Katanya kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif,” kata Dr Noor Hisham. – Bernama